Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) seharusnya menghidupkan semula perbincangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta integrasi serantau.
Hal itu disampaikan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu ucaptama menghadiri acara 101st East Asia Friendship Dinner (Ostasiatisches Liebesmahl) di Hamburg City Hall, anjuran German Asia-Pacific Business Association (OAV).
"Malaysia bukan sahaja terbuka menerima perniagaan, malah bersedia untuk bekerjasama dan berinovasi dalam usaha niaga berkualiti tinggi sejajar dengan matlamat negara dan tanggungjawab global.
"Saya juga mengambil peluang bicara soal kerangka Ekonomi MADANI yang mencerminkan komitmen negara untuk memacu Malaysia menjadi ekonomi utama di Asia serta memacu pembangunan yang mampan dan inklusif.
"Kerangka ini membayangkan masyarakat yang berkongsi kemakmuran, mendukung integrasi ASEAN yang lebih kukuh dan ekonomi yang kompleks serta membangunkan Malaysia sebagai kuasa utama serantau," katanya dalam catatan di Facebook.
Anwar juga menekankan polisi berkecuali Malaysia dalam hubungan serantau yang menyaksikan saingan memuncak kuasa besar di antara blok Amerika Syarikat - Kesatuan Eropah dan Rusia - China dalam BRIC.
Katanya, kelebihan polisi berkecuali Malaysia di tengah tengah pasaran berkembang Asia merupakan tapak terbaik baik perniagaan negara Eropah.
"Saya tekankan pendirian berkecuali Malaysia, menjadikan negara ini di kedudukan yang baik untuk menjalankan perniagaan dan perdagangan dengan blok Timur dan Barat.
"Langkah ini sekali gus mengukuhkan lagi daya tahan Malaysia berdepan dengan cabaran geopolitik yang tidak menentu.
"Saya berkongsi isu terkait sektor tenaga, di mana Sarawak adalah negeri penting yang mengeksport tenaga ke Nusantara, ibu negara baharu Indonesia serta melalui kabel dasar laut ke Singapura dan ke Semenanjung," katanya.
Dalam ucaptama sama Anwar turut menekankan bahawa Malaysia bersedia menyokong peralihan tenaga Jerman menerusi gas asli sebagai bahan api peralihan, sekali gus mengimbangi keperluan segera keterjaminan tenaga Jerman dengan matlamat kemampanan jangka panjang.
PM percaya kerjasama antara Malaysia dan Jerman mampu memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak termasuk rakyat keseluruhannya.
Comments