top of page

Malaysia, EFTA teroka kerjasama latihan semula tenaga kerja

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 28
  • 1 min read

ree

Malaysia dan negara-negara ahli Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) sepakat untuk meneroka kerjasama dalam bidang latihan semula tenaga kerja dan amalan buruh mampan.


Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi satu kenyataan berkata, kesepakatan itu dicapai susulan kunjungan delegasi Jawatankuasa Parlimen Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) diketuai Ketua Delegasi Iceland, Grímur Grímsson ke kementerian itu baru-baru ini.

"Dalam pertemuan tersebut, Steven Sim menzahirkan keyakinan kerjasama strategik ini akan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia serta menyokong pertumbuhan mampan dan inklusif sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.


"Malaysia komited meningkatkan standard pasaran buruh ke tahap antarabangsa, termasuk reformasi lebih 100 undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH)," kata kenyataan itu.


Antara bidang utama kerjasama yang dikenal pasti termasuk:


Perkongsian kepakaran meningkatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia berinspirasi daripada pendekatan EFTA.


Membangunkan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi maju seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi perikanan dan inovasi kesihatan.


Meneroka amalan terbaik keselamatan pekerjaan, sistem keselamatan sosial serta memperkukuh peranan kesatuan sekerja.


EFTA merangkumi Norway, Switzerland, Iceland dan Liechtenstein.

Kunjungan delegasi seramai 20 orang itu turut disertai oleh Thomas Aeschi, (Ketua Delegasi Switzerland); Trine Lise Sundnes, (Ketua DelegasiNorway); Sebastian Gassner, Ketua Delegasi Liechtenstein; serta Chantal Moser, Duta Besar Switzerland ke Malaysia.


"Ketika Malaysia berusaha mentransformasikan persepsi terhadap pendidikan vokasional dan memperkasa tenaga kerja dengan kemahiran masa depan termasuk keupayaan AI, kami amat mengalu-alukan dialog dan kerjasama lebih mendalam dengan negara-negara EFTA.


"Saya percaya usaha bersama ini akan memberikan manfaat besar kepada pekerja dan industri, serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam menghadapi cabaran ekonomi global," tambah Sim menerusi kenyataan tersebut.


Pertemuan diakhiri dengan komitmen bersama untuk mengadakan dialog berterusan dan memperkasa kerjasama dalam mempertingkatkan amalan terbaik pasaran buruh.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page