Malaysia duduki tangga ke tujuh negara paling dipercayai di dunia


Malaysia muncul sebagai antara negara paling dipercayai di dunia tahun ini apabila menduduki tangga ketujuh global dengan Indeks Kepercayaan meningkat kepada 71 mata berbanding 66 mata tahun lalu, demikian menurut laporan satu kajian antarabangsa sebagaimana dilaporkan The Star.
Kajian tahunan global Edelman Trust Barometer 2026 itu menilai tahap kepercayaan rakyat terhadap empat institusi utama iaitu kerajaan, perniagaan, media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan Malaysia berjaya mengekalkan kesemua institusi tersebut dalam kategori “dipercayai”, satu pencapaian yang hanya dicapai kurang separuh daripada 28 negara yang dikaji.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan kedua selepas Indonesia, manakala China dan United Arab Emirates (UAE) menduduki tangga teratas global.
Di sebalik pencapaian itu, laporan sama memberi amaran bahawa tahap kepercayaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sebenarnya banyak tertumpu dalam lingkungan sosial, budaya dan politik yang sama.
Kajian mendapati sekitar 65 peratus rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan “insular trust mindset”, iaitu sukar mempercayai individu yang mempunyai nilai, pandangan sosial, latar budaya atau sumber maklumat berbeza.
Pada masa sama, hanya 37 peratus rakyat Malaysia dilaporkan aktif mendapatkan maklumat daripada sumber yang mempunyai kecenderungan politik berbeza sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Laporan itu turut memperkenalkan konsep “domestic trust advantage” Malaysia apabila jurang kepercayaan antara syarikat tempatan dan syarikat asing berada pada kadar 18 mata, mencerminkan kecenderungan masyarakat untuk lebih mempercayai entiti yang dianggap dekat dan dikenali.
Ketua Pegawai Eksekutif Edelman Malaysia dan Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin berkata, kedudukan Malaysia sebagai antara negara paling dipercayai dunia merupakan pencapaian besar yang memberi kesan positif kepada keyakinan pelabur dan kredibiliti institusi negara.
"Malaysia telah memperoleh tempat sebagai antara negara paling dipercayai di dunia. Ia adalah pencapaian sebenar dan penting untuk keyakinan pelaburan, kredibiliti institusi dan kedudukan kita dalam dunia yang semakin kekurangan kepercayaan.
"Namun data menunjukkan persoalan lebih besar. Kepercayaan yang dibina rakyat Malaysia banyak berlaku dalam kelompok yang mempunyai nilai, sumber maklumat dan komuniti yang sama," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran laporan berkenaan di Kuala Lumpur.
Turut hadir ialah Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong.
Mazuin berkata Malaysia tidak mampu mengekalkan kelebihan kepercayaan ini jika garis perpecahan dalam masyarakat terus melebar.
"Merapatkan jurang ini bukan sekadar tuntutan sosial, tetapi prasyarat penting untuk fasa pertumbuhan negara seterusnya," katanya.
Kajian turut menunjukkan kebimbangan besar rakyat terhadap ekonomi global apabila 67 peratus pekerja di seluruh dunia takut kehilangan pekerjaan akibat ancaman kemelesetan ekonomi, manakala 66 peratus bimbang konflik perdagangan antarabangsa akan memberi kesan negatif kepada majikan mereka.
Di Malaysia, jurang kepercayaan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah diukur pada kadar sembilan mata, sementara rantau Asia Pasifik secara keseluruhan merekodkan jurang 16 mata, lebih dua kali ganda berbanding 2012.
Kajian sama mendapati rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap institusi untuk memainkan peranan lebih aktif dalam merapatkan jurang sosial.
Di rantau Asia Pasifik, sebanyak 77 peratus pekerja percaya majikan mempunyai tanggungjawab membina kepercayaan antara kelompok masyarakat yang saling tidak mempercayai, namun hanya 54 peratus percaya syarikat benar-benar melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan.
Jurang antara harapan dan prestasi itu lebih besar melibatkan kerajaan dan organisasi media, masing-masing pada kadar 37 mata, manakala NGO merekodkan jurang 31 mata.
Secara global, 82 peratus responden percaya usaha membina identiti dan budaya bersama dalam organisasi merupakan kaedah paling berkesan untuk merapatkan perpecahan sosial.
Selain itu, 81 peratus berpandangan bahawa mewujudkan pasukan yang terdiri daripada individu dengan nilai berbeza tetapi bekerjasama mencapai matlamat sama mampu memperkukuh kepercayaan masyarakat.
Di Malaysia pula, majoriti responden berpandangan sektor perniagaan akan lebih dipercayai dalam isu sosial sensitif sekiranya syarikat menggalakkan kerjasama tanpa memihak kepada mana-mana kelompok.
Sebanyak 38 peratus menyokong pendekatan tersebut, berbanding 32 peratus yang mahu syarikat mengambil pendirian berasaskan nilai tertentu, manakala 11 peratus berpendapat syarikat seharusnya berdiam diri dalam isu sosial dan politik.




Comments