Malaysia Disegani Pemimpin Dunia, PMX Sebagai Pengerusi ASEAN Cemerlang
- Suara Keadilan

- Oct 25
- 3 min read

Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47)
ULASAN: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan membuka tirainya esok, 26 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan tema `Keterangkuman dan Kemampanan’.
Sidang Kemuncak kali ini bukan sekadar penutup kepada satu tahun kepimpinan Malaysia dalam mempengerusikan ASEAN, sebaliknya juga merupakan simbol kepada peranan aktif dan kepimpinan negara dalam membentuk masa depan ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat.
Sidang Kemuncak kali ini bakal menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat tumpuan diplomasi antarabangsa, di mana ia menghimpunkan pimpinan-pimpinan ASEAN bersama rakan dialog utama seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia dan Republik Korea, serta tetamu Pengerusi ASEAN yakni Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Kesatuan Eropah, di samping beberapa organisasi antarabangsa yang lain.
Tumpuan hari ini, 25 Oktober semestinya terarah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang kini disegani oleh pemimpin-pemimpin dunia kerana kemampuan beliau mengemudi ASEAN serta sebagai Pengerusi ASEAN yang cemerlang.
Hari ini PMX menerima dua tetamu penting iaitu Presiden Brazil, Luiz Ina Cio Lula Da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
Lawatan kedua-dua pemimpin menjadi pembuka tirai kepada rangkaian Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang-Sidang Berkaitan dalam memperkukuh jaringan hubungan luar Malaysia di Amerika Selatan dan Afrika.
Lembaran baharu hubungan Malaysia - Brazil
Lawatan pertama pada sebelah pagi ialah Presiden Luiz Inácio Lula da Silva yang menandakan lembaran baharu dalam hubungan Malaysia – Brazil.
Lawatan rasmi ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak kembali memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2023.

Kehadiran beliau ke Malaysia mampu memperkukuhkan hubungan erat dua negara yang berkongsi aspirasi sama dalam memperjuangkan keadilan ekonomi dan kemakmuran sejagat.
Hubungan tersebut turut diperkukuh sejak Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS di Rio de Janeiro Julai lalu.
Dengan kehadiran Anwar itu menandakan Malaysia terus membawa suara tegas bagi negara-negara Selatan dalam memperjuangkan sistem perdagangan dan kewangan antarabangsa yang lebih adil, seimbang dan mampan.
Pertemuan kedua-dua pemimpin hari ini bakal memperkukuh komitmen kedua-dua negara untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan global.
Lawatan ini juga mencerminkan keyakinan dan keakraban hubungan Malaysia – Brazil, berteraskan semangat saling hormat dan usaha bersama memperkukuh kerjasama Selatan – Selatan demi manfaat kolektif kedua-dua negara dan rantau.

Di sebelah petang hari ini pula, Perdana Menteri akan menerima lawatan rasmi Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, yang menandakan kesinambungan hubungan erat dan bersejarah antara Malaysia dan Afrika Selatan yang berasaskan nilai keadilan, solidariti dan pembangunan bersama.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak memegang jawatan Presiden pada tahun 2018. Lawatan beliau mampu memperkukuhkan hubungan dua hala yang terus berkembang pesat sejak era diplomatik baharu antara kedua-dua negara pada awal 1990-an.
Hubungan Malaysia - Afrika Selatan akan terus diperkukuh melalui lawatan rasmi Perdana Menteri ke Afrika Selatan pada bulan hadapan untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg.
Kehadiran Anwar ke Sidang Kemuncak G20 itu juga menandakan komitmen Malaysia untuk memperluas kerjasama dengan rakan-rakan strategik Malaysia di benua Afrika serta memperkukuh jaringan Selatan–Selatan.
Dalam pertemuan hari ini, kedua-dua pemimpin dijangka akan menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, pertahanan, serta sains dan inovasi — termasuk bidang bioteknologi, digitalisasi dan pembangunan kemahiran.
Iktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang
Malaysia turut mengiktiraf Afrika Selatan sebagai rakan dagang terbesar di benua Afrika serta berhasrat memperluas pasaran eksport minyak sawit serta memperkukuh penyertaan sektor swasta dalam bidang tenaga, pertanian, dan pembuatan bernilai tinggi.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga dijangka menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin, dan Malaysia menyatakan penghargaan setingginya terhadap kepimpinan Afrika Selatan dalam membawa isu kemanusiaan ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Lawatan ini menjadi simbol komitmen untuk memperjuangkan keamanan sejagat berteraskan prinsip keadilan, kemanusiaan, dan perpaduan global.
Dengan kehadiran dua pemimpin berkenaan ini, ia menjadi permulaan kepada minggu diplomasi terbesar Malaysia bagi tahun ini.
Ia sekali gus memperlihatkan keyakinan dunia terhadap kepimpinan Perdana Menteri serta kredibiliti Malaysia sebagai sebuah negara yang berprinsip, progresif dan dihormati di peringkat antarabangsa.
Lawatan rasmi hari ini dari Brazil dan Afrika Selatan bukan sekadar agenda protokol, tetapi melambangkan kekuatan jaringan hubungan luar Malaysia yang seimbang di rantau utama dunia.
Hal ini juga menjadi asas kukuh bagi kesinambungan dasar luar Malaysia yang berpaksikan nilai kemanusiaan, perdagangan yang adil, dan kerjasama Selatan – Selatan.









Comments