top of page

Malaysia cipta sejarah ASEAN: Bentuk masa depan serantau lebih gemilang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 minutes ago
  • 2 min read
ree

Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama rakan-rakan dialog strategik termasuk Amerika Syarikat, China, India, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Kesatuan Eropah dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur, mencatatkan penyertaan terbesar dalam sejarah ASEAN.


Menurut Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, kejayaan ini membuktikan kepimpinan negara sebagai peneraju arah masa depan rantau Indo-Pasifik, setelah tidak lagi berperanan di peringkat antarabangsa sepanjang krisis politik 2020 - 2022 lalu.


"Kejayaan ini menunjukkan Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah, tetapi peneraju arah masa depan rantau Indo-Pasifik dalam menghadapi cabaran geoekonomi, ketegangan kuasa besar dan krisis rantaian bekalan global," katanya dalam satu kenyataan.


Katanya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), Malaysia mengetuai pemeteraian Protokol Kedua Pindaan ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA 2.0), memperkukuh penyepaduan ekonomi ASEAN ke arah pasaran tunggal dan modenisasi peraturan perdagangan dalam bidang ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan makanan.


Malaysia turut memimpin proses kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11, menamatkan isu yang tertangguh selama lebih satu dekad. Langkah ini disifatkan sebagai detik bersejarah yang meningkatkan kredibiliti Malaysia sebagai kuasa penyatu rantau.

R Yuneswaran
R Yuneswaran

"Perdana Menteri menerima pujian oleh pemimpin ASEAN kerana berjaya membawa konsensus dalam isu yang tertangguh lebih sedekad," katanya.


Sidang kemuncak ASEAN juga menjadi pentas pengumuman Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (Malaysia–US Reciprocal Trade Agreement, RTA), satu perjanjian strategik yang memberi akses khas kepada Malaysia dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga bersih, bateri elektrik dan mineral kritikal.


Dengan perjanjian ini, Malaysia menjadi satu-satunya negara ASEAN yang memiliki RTA dengan Amerika Syarikat, menjadikan negara ini pintu strategik rantau ASEAN kepada pasaran global bernilai trilion dolar.


"Ini memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rangkaian bekalan global (global supply chain resilience initiative) bersama AS, Jepun dan EU," katanya.


Tambah Yuneswaran, Malaysia turut menonjol sebagai kuasa ekonomi berkecuali aktif, menyeimbangkan hubungan strategik dengan kedua-dua kuasa dunia seperti China dan Amerika Syarikat.


Melalui RCEP, ACFTA 3.0 dan pelaburan digital dengan China, serta perjanjian perdagangan baharu dengan AS, Malaysia muncul sebagai hab pelaburan berkecuali yang terbuka kepada semua blok ekonomi tetapi tetap berpaksikan kedaulatan nasional dan keselamatan digital.


Malaysia juga katanya, mengusulkan dua inisiatif besar iaitu ASEAN Strategic Digital Compact 2040, untuk membina rantau digital bersepadu dan ASEAN Green Transition Fund, bagi mempercepat peralihan tenaga hijau dan menjadikan ASEAN sebagai kuasa digital dan tenaga bersih baharu dunia.


Kedua-dua inisiatif ini menerima sokongan awal daripada negara-negara anggota ASEAN.


Yuneswaran turut menyenaraikan beberapa kejayaan ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia seperti menandatangani ATIGA 2.0 bagi memperkasa perdagangan intra-ASEAN bernilai RM1.8 trilion setahun; Penubuhan ASEAN Coordinating Centre for Digital Economy di Malaysia, menjadikan negara ini pusat digital rantau; Cadangan ASEAN Mineral Critical Supply Chain Council diterima untuk memperkukuh bekalan bahan mentah strategik; Kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN; dan dialog bersama AS, China, India dan Jepun menghasilkan pelaburan berskala mega dalam sektor AI, tenaga bersih dan keselamatan makanan.


Menurut beliau lagi, pencapaian tersebut bukan sekadar kejayaan diplomatik tetapi manifestasi kepimpinan Malaysia di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihormati sebagai pemimpin berwawasan global.


"Malaysia memimpin dengan keberanian, berunding dengan hikmah, dan bergerak dengan visi global demi kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara," katanya.


Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur kini dilihat sebagai penanda aras baharu kepimpinan ASEAN, bukan sekadar memperkukuh perpaduan serantau, tetapi membentuk masa depan Asia Tenggara yang lebih sejahtera, berdikari dan berpengaruh di pentas global.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page