Malaysia, Brunei tekad percepat selesai isu sempadan darat
- Suara Keadilan
- 1 minute ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen tinggi untuk memperkukuh hubungan dua hala meliputi sempadan, ekonomi, pendidikan, tenaga dan pertahanan serta isu serantau, hasil Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) ke-26 yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Rundingan itu dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan negara baginda ke Malaysia sejak Isnin lalu.
Kedua-dua pemimpin bertekad mempercepatkan penyelesaian isu sempadan darat khususnya di Sektor F-G, berdasarkan prinsip “watershed” (garisan punca air) dengan sasaran demarkasi siap menjelang 31 Mei 2027.
"Penyelesaian sempadan mesti berasaskan prinsip watershed dan kedua-dua negara komited menentukan sempadan tunggal di Sektor F-G sebelum 2027," menurut kenyataan bersama itu.
Sehingga kini, sebanyak 214.6 kilometer atau 41 peratus sempadan darat sudah selesai ditanda dan diukur hasil kerja-kerja yang dilakukan sejak 2012.
Dalam pada itu, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama di Sabah dan Sarawak dalam bidang tenaga, pertanian, pelancongan, industri halal dan perdagangan sempadan.
"Inisiatif strategik di Borneo mampu menjadi pemacu kemakmuran bersama, meningkatkan keselamatan makanan dan tenaga serta membuka peluang baharu kepada rakyat," kata kedua-dua pemimpin.
Antara projek utama yang dipersetujui termasuk sambungan tenaga rentas sempadan Lumut-Tudan di Sarawak, kerjasama sawah padi dan ternakan dengan penjenamaan halal Brunei, serta penubuhan Majlis Perniagaan Brunei-Sabah dan Brunei-Sarawak.
Dalam bidang pendidikan, kedua-dua pihak menyambut baik rundingan MOU membolehkan pelajar Sabah melanjutkan pengajian tinggi di Brunei.
"Peluang pendidikan dan penempatan pelajar di syarikat multinasional Malaysia akan meningkatkan kebolehpasaran serta membuka laluan kerjaya baharu kepada anak muda Brunei," jelas kenyataan itu.
Di bidang kesihatan, kedua-dua negara menandatangani MOU Kerjasama Kesihatan meliputi farmaseutikal, penyakit tidak berjangkit, rawatan perubatan, keselamatan kesihatan dan teknologi kesihatan digital.
Selain itu, kedua-dua pihak mengalu-alukan Program Pengembara Kerap Brunei-Malaysia (BMFTP) yang mengurangkan keperluan cop pasport bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan.
Kerjasama pertahanan diperkukuh melalui latihan, lawatan dan penyertaan bersama dalam misi pengaman di bawah PBB, kata kenyataan itu.
"Kerjasama pertahanan ini mencerminkan komitmen kedua-dua negara terhadap keamanan serantau dan kestabilan global," kata kenyataan bersama itu.
Mengenai isu Myanmar, Malaysia dan Brunei menegaskan bahawa Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal sebagai rujukan utama ASEAN.
"Kami menyeru gencatan senjata menyeluruh segera di Myanmar sebagai langkah penting untuk bantuan kemanusiaan dan dialog inklusif," katanya.
Selain itu, kedua-dua negara mengutuk tindakan Israel di Gaza yang digambarkan sebagai “genosid dan pembersihan etnik”.
"Tindakan Israel yang terus menduduki Gaza serta rancangan pengembangan haram 'Greater Israel' adalah pelanggaran serius undang-undang antarabangsa," tegas kenyataan itu.
Malaysia dan Brunei turut menggesa komuniti antarabangsa segera bertindak menghentikan keganasan dan memberi pengiktirafan kepada Palestin.
"Penyelesaian yang adil hanya boleh dicapai melalui penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," jelas kedua-dua pemimpin.
Rundingan ke-27 akan diadakan di Brunei pada 2026.