Malaysia boleh belajar dari Vietnam untuk bangkit jadi hebat - PM


Malaysia boleh mempelajari pengalaman Vietnam yang bangkit dalam tempoh singkat selepas perang pada 1970an menentang Amerika Syarikat di negara itu.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian pada sidang akhbar bersama media Malaysia sebelum berlepas pulang ke ibu negara selepas lawatan rasmi dua hari ke Vietnam, semalam.
Jelasnya, kesan kemusnahan dihadapi negara itu sebelum ini telah menyebabkan ramai rakyatnya melarikan diri ke Malaysia akibat kekacauan yang bukan sahaja tidak selamat tetapi ekonominya turut terjejas teruk.
"Penderitaan rakyat Vietnam (ketika zaman kekacauan) sebagaimana kita tahu, di Malaysia ramai yang kenal orang pelarian, orang yang diusir dan terpaksa lari kerana masalah ekonomi dan perubahan yang mengejutkan.
"Tetapi seperti mana kita tahu, dia (Vietnam) boleh meningkat maju sebagai kekuatan (kuasa) ekonomi yang menakjubkan dan di antara negara membangun yang paling berjaya di dunia.
"Ini pertamanya kerana, kesatuan yang dahulunya pecah kepada Vietnam Utara dan Selatan yang menjadi satu, dan fokus rakyat negara itu ialah kesatuan dan perpaduan dengan matlamat yang jelas membangunkan negara dan membela nasib rakyat," katanya dipetik.
Anwar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu turut berkata, pada tahun 1990-an, Vietnam banyak bergantung dan belajar dari Malaysia yang berkembang maju terutama dalam sektor kewangan dan perbankan namun kini negara itu sudah mendahului Malaysia dalam beberapa sektor.
"Tetapi kerana Vietnam bersatu, mereka tumpu kepada ekonomi dan saudara juga tahu ada beberapa tindakan tegas (ketegasan) soal tatakelola dan antirasuah.
"Ini maknanya tatakelola itu diutamakan, membersihkan negara daripada pengaruh-pengaruh yang boleh melemahkan, sendi negara itu," tambahnya.




Comments