Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Menerusi ucapan di Dewan Rakyat, Anwar selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15 dalam Ucapan Tahniah dan Ikrar Taat Setia di Dewan Rakyat menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat dan kesejahteraan daripada pemerintahan seorang raja yang adil, bijaksana serta prihatin terhadap rakyat jelata serta negara.
"Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat yakin dengan pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan," katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan ucapan itu oleh Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(j) Dewan Rakyat.
Namun, cadangan itu ditolak oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang mempersoalkan keperluan untuk merakamkan penghargaan itu memandangkan ucapan itu wajar dibuat pada belah pagi tadi.
Susulan itu, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar daripada Dewan Rakyat sebagai protes selepas Speaker berkeras membenarkan slot tersebut untuk Perdana Menteri.
Dalam ucapan itu, Anwar turut merafak sembah ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan Dewan Rakyat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun lepas dengan adil dan bijaksana.
"Saya yakin seluruh rakyat jelata merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Tuanku dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
"Semoga Tuanku dan Tengku Ampuan Pahang serta seluruh kerabat sentiasa dilindungi dan dilimpahi taufik hidayah oleh Allah, dipanjangkan umur diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu," katanya.
Comments