Malaysia berpotensi jadi jambatan dialog antara agama di ASEAN
- Suara Keadilan

- Sep 5
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia berpotensi besar menjadi jambatan dialog antara agama di rantau ASEAN berikutan kekuatan dan keunikan masyarakatnya yang pluralistik, terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama serta kekal hidup dalam suasana aman dan damai.
Biro Antarabangsa Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Arief Izuadin (gambar) berkata, konsep Rahmatan lil Alamin dan Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar slogan politik, sebaliknya satu pendekatan menyeluruh untuk membina masyarakat inklusif yang menghargai kepelbagaian.
"Apa yang pentingnya adalahpendekatan PMX sendiri dalam usaha untuk memposisi atau mempromosikan Malaysia sebagai negara Islam yang moderat ataupun dalam istilah yang kita kenal sebagai wasatiyah.
"Dan juga jangan lupa, mungkin ia boleh menjadi pemangkin ataupun jambatan kepada dialog antara agama di rantau ini, rantau ASEAN khususnya.
"Bagi saya, sidang ini adalah respon yang bersifat strategik khususnya kepada fenomena-fenomena yang kita kenal sebagai Islamofobia dan juga konflik antara agama yang makin marak khususnya di kawasan Asia Tenggara dan global," kata Arief ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau mengulas ucaptama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Persidangan Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua di Petaling Jaya baru baru ini yang membincangkan peri pentingnya kepemimpinan agama menyelesaikan konflik.
Tambah Arief, sepanjang sejarah kepimpinan negara, masyarakat majmuk Malaysia telah membuktikan bahawa perbezaan agama dan budaya bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya kekuatan yang boleh diperkaya melalui dialog serta saling memahami.
Justeru itu katanya, inisiatif-inisiatif bersifat dialog secara inklusif bukan hanya mengangkat imej Malaysia di rantau ini, malah berpotensi menjadi jambatan kepada dialog antara agama di ASEAN dan seterusnya ke peringkat global.
"Bila PMX menyentuh soal kemerosotan nilai serta hipokrasi politik global, ini bukan soal wacana agama semata-mata.
"Tetapi ia adalah mesej politik antarabangsa dimana pemimpin agama diseru dan dilibatkan dalam ruang awam terutama berkaitan wacana keamanan, keadilan dan kemanusiaan.
"Dengan meletakkan nilai MADANI sebagai asas kepada seruan ini, ia boleh berfungsi sebagai “soft power” dasar luar negara Malaysia di peringkat antarabangsa," kata Arief lagi.
Untuk rekod, Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama kali kedua anjuran Muslim World League (MWL) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 28 Ogos lalu yang dirasmikan PM telah berjaya menghimpunkan tokoh-tokoh pelbagai agama dari seluruh dunia bagi membincangkan isu keamanan, toleransi dan persefahaman antara agama.









Comments