Malaysia berpotensi besar kembang industri bioteknologi, farmaseutikal
- Suara Keadilan
- Jun 26
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Malaysia dilihat memiliki potensi besar dalam sektor bioteknologi dan farmaseutikal, terutamanya dalam penghasilan produk berasaskan biodiversiti tempatan.
Penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Dr Faiz Na’aman (gambar) berkata, potensi tersebut seiring kedudukan Malaysia yang masih kekal sebagai destinasi yang dipercayai oleh pelabur asing, hasil daripada pentadbiran kerajaan yang cekap serta dasar-dasar yang stabil.
"Di sebalik kejayaan menarik pelaburan asing langsung (FDI), terdapat bidang-bidang berpotensi tinggi yang masih belum diberi perhatian sewajarnya.
"Antaranya industri bioteknologi dan perubatan tradisional serta komplementari (Traditional and Complementary Medicine, TCM).
"Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan biodiversiti, memiliki aset semula jadi yang besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa, termasuk produk herba tempatan yang boleh dipasarkan dalam bentuk yang lebih profesional dan diyakini.
"Kalau negara kita sedar tentang potensi bidang ini, bukan sahaja kita boleh meluaskan lagi sektor ekonomi alternatif, tetapi juga memperkukuh keselamatan kesihatan negara dari sudut ketersediaan ubat-ubatan," ujar Dr Faiz Na’aman yang merupakan pengamal perubatan.
Beliau mengulas potensi pengembangan bidang baru di Malaysia susulan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) 2025.
Kata Dr Faiz, gabungan antara teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, dan bioteknologi mampu memperkasa dan mengembangkan potensi industri farmaseutikal tempatan.
Inisiatif ini juga diyakini mampu mengurangkan kebergantungan kepada ubat-ubatan import yang seringkali mahal dan meningkatkan kebolehcapaian rakyat terhadap rawatan kesihatan berkualiti.
Katanya, dengan strategi yang tepat seiring komitmen kerajaan, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab utama bioteknologi dan farmaseutikal di rantau Asia Tenggara.
"Ini juga membuka ruang kepada pembangunan produk tempatan yang memenuhi piawaian antarabangsa termasuk pensijilan halal JAKIM, sekali gus meningkatkan daya saing Malaysia di pasaran negara-negara Islam.
"Dalam usaha memperkukuh ekonomi negara, kerajaan wajar memberi fokus bukan sahaja kepada pelaburan asing, tetapi juga pembangunan industri tempatan yang mampu menjana peluang pekerjaan serta menjamin keselamatan ubat-ubatan (drug security).
"Kita perlu ada dasar yang jelas dan kesungguhan politik untuk membangunkan sektor ini. Kalau berlaku sebarang gangguan bekalan ubat di peringkat global, kita perlu pastikan bekalan dalam negara tidak terganggu," katanya lagi.
Commentaires