top of page

Malaysia berperanan besar sebagai kuasa berkecuali dalam dunia multipolar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Dr Maszlee dalam temubual bersama Kerusi Biru menyatakan konsep dunia multipolar dan peranan Malaysia
Dr Maszlee dalam temubual bersama Kerusi Biru menyatakan konsep dunia multipolar dan peranan Malaysia

Oleh: Akmal Manaf


Malaysia seharusnya muncul sebagai kuasa berkecuali yang berperanan aktif dalam dunia multipolar, berbanding era terdahulu yang menyaksikan dominasi unipolar oleh kuasa besar Amerika Syarikat (AS).


Menurut Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik, tiga dekad lalu wujud blok Timur dan Barat, dan selepas sekian lama AS bersendirian sebagai kuasa unipolar, kini dunia telah bergerak ke arah multipolar dengan kemunculan China di Asia.


''Kita tidak mahu lagi wujud situasi bipolar di mana China bertembung dengan AS. Sebaliknya, kita ingin mewujudkan pelbagai aktor lain termasuk negara-negara Dunia Selatan, ASEAN, kawasan Amerika Latin, Afrika dan Eropah sekali gus setiap pihak dapat memainkan peranan masing-masing.


''Jadi di sudut inilah kita lihat bagaimana perlunya kuasa multipolar ini menunjukkan pengaruh mereka.

''Sebab itu kita lihat apabila kita (Malaysia) menjadi Pengerusi ASEAN, agak signifikan peranan kita dalam dunia, bukan sekadar dari segi perdagangan, tetapi juga mempengaruhi apa yang berlaku di dunia lain,'' katanya.


Beliau berkata demikian dalam rancangan temu bual Kerusi Biru yang bertajuk "Diplomasi Keadilan: Suara Nurani Malaysia" yang disiarkan di media sosial Parti Keadilan Rakyat malam tadi.


Menurut Dr Maszlee, walaupun Malaysia sebuah negara kecil dan terletak jauh dari kawasan konflik, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dilihat oleh banyak negara Islam sebagai seorang ikon dan pemimpin yang kata-katanya didengar dan dihargai.


''Contohnya isu Gaza, kita turut bersuara dan sebagainya. Dari lensa ummah pula, sebagai negara umat Islam, mahu atau pun tidak, umat Islam itu sentiasa perlukan kepada satu pemimpin yang menjadi lambang dan panduan.


''Pada masa ini, PM Anwar dilihat oleh banyak negara Islam sebagai ikon dan pemimpin yang mereka boleh dengar percakapannya.


''Saya sebagai Pengerusi International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS), sendiri terlibat dengan negara-negara umat Islam dan juga komuniti Islam Muslim di negara yang majoritinya bukan Islam.


''Memang PM Anwar pada ketika ini dipandang tinggi malah kata-kata beliau dilihat sebagai satu visi bagi mereka dan beliau dilihat sebagai pemimpin yang boleh menyatukan,'' katanya.


Dalam temu bual itu, Dr Maszlee yang juga mantan Ahli Parlimen Simpang Renggam mengulas tentang sokongan KEADILAN terhadap diplomasi yang dijalankan PM berhubung ketegangan antara Afghanistan dan Pakistan.


Katanya, selepas PM Anwar berhubung dengan kedua-dua pemimpin negara berkenaan, bukan sahaja mereka mendengar pandangan Anwar dan memberikan reaksi positif, malah media tempatan turut memberikan liputan memberangsangkan.


''Bagi kedua-dua pemimpin itu, sambil disaksikan oleh rakyat mereka, sudut pandang PM Anwar dijadikan panduan walaupun negara yang terlibat secara aktif untuk mendamaikan kedua-dua pihak ialah Qatar dan Turkiye.


''Namun, rakyat dan pemimpin negara berkenaan lebih merujuk dan memetik nama Datuk Seri Anwar, walaupun beliau ketika itu tidak berada di Qatar,'' ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page