Malaysia berjaya angkat kedudukan ASEAN di peringkat dunia - Kedutaan Palestin
- Redzuan Shamsudin

- Oct 29
- 1 min read
Oleh: Azuan Ab Rahman
Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib dan menubuhkan negara merdeka menerima pujian tinggi daripada Kedutaan Palestin di Malaysia.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Kedutaan Palestin menzahirkan penghargaan mendalam terhadap kepimpinan Malaysia yang disifatkan berinspirasi dan berwawasan, apabila meletakkan isu Palestin sebagai teras dalam agenda ASEAN sepanjang tahun 2025.
"Kedutaan memuji Malaysia kerana meletakkan isu Palestin sebagai keutamaan dalam agenda ASEAN, serta menegaskan semula sokongan bersejarah dan tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi rakyat Palestin," kata kenyataan itu.
Menurut Kedutaan, pendirian Malaysia yang teguh dan berprinsip terhadap isu serantau serta global, disertai pendekatan diplomasi inklusif dan berpandangan jauh, berjaya mengangkat kedudukan ASEAN di peringkat dunia.
"Tindakan ini meninggalkan kesan transformatif yang mendalam di peringkat serantau, dunia Islam dan pentas antarabangsa," tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, gesaan semua pihak yang menuntut kepada penyelesaian komprehensif dan menyeluruh terhadap konflik di Palestin khususnya di Gaza.
Anwar turut memaklumkan kesediaan Malaysia menyertai Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Gaza bersama negara-negara sehaluan, termasuk anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pendirian Malaysia dalam isu Palestin turut dipuji Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres yang menyifatkan Malaysia memiliki dasar luar Malaysia yang konsisten dan tidak berat sebelah dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib serta menubuhkan negara sendiri.










Comments