
Kerajaan berharap saintis negara ini akan mampu menghasilkan vaksin untuk penyakit lingkungan tropika seperti denggi.
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata kerajaan perlu membangunkan vaksin manusia terlebih dahulu bagi tujuan berkenaan sebelum memutuskan jenis vaksin seterusnya yang akan dikembangkan.
"Dari segi sains kita perlu ada kapasiti untuk membangun vaksin manusia. Selepas itu baru kita masuk dalam apa jenis vaksin yang kita akan kembangkan.
"Saya harap pada satu hari akan datang, kita juga boleh menghasilkan vaksin seperti denggi dan lain-lain," katanya dipetik ketika menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Bioteknologi Nasional Malaysia (NIBM), Pfizer Malaysia dan Malaysian Vaccines and Pharmaseutical (MVP) Sdn Bhd, pagi tadi.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihak kementerian dan kerajaan Malaysia masih belum menetapkan pengkhususan untuk tujuan berkenaan.
"Hari ini baru termeterai perjanjian MoU. Belum ada pengkhususan apa-apa," katanya kepada wartawan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu turut mengalu alukan lebih banyak syarikat pengeluar vaksin tempatan menyertai Pelan Halatuju Pembangunan Vaksin Negara ke arah mencapai aspirasi Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia.
Lih Kang berkata, kerajaan dijangka menghasilkan vaksin manusia pada 2030 yang tidak hanya difokuskan untuk rakyat Malaysia, tetapi juga akan dijual pada negara lain.