Malaysia bergantung kepada bakat muda mencorak masa depan - PM
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan negara.
Hal itu disampaikannya dalam ucapan pada pertemuan bersama warga Malaysia di Perancis dalam dialog mengenai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara sebaik tiba di kota Paris dari Itali.
"Dalam ucapan saya, saya tekankan bahawa Malaysia amat bergantung kepada bakat muda untuk mencorak masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
"Saya menasihati mereka agar menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan, kerana kejayaan dalam apa jua bidang bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga satu tanggungjawab untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tegas Anwar, Malaysia memerlukan generasi muda yang cemerlang, berprinsip dan bersedia memikul amanah besar. Beliau berharap generasi muda yang menuntut di Perancis akan menjadi agen perubahan yang bakal menerajui kemajuan negara ke arah masa depan yang lebih gemilang.
"Saya turut berkongsi tentang ikhtiar Kerajaan MADANI dalam melaksanakan pembaharuan menyeluruh merangkumi pertumbuhan ekonomi yang inklusif, tadbir urus yang berintegriti serta keadilan sosial yang memartabatkan setiap lapisan rakyat," katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Comments