Malaysia beralih dari pembangunan Bandar Pintar kepada model Bandar AI
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Malaysia berada pada titik penting untuk beralih daripada pembangunan Bandar Pintar kepada model Bandar Kecerdasan Buatan (AI) sebagai asas kepada aspirasi menjadi Negara AI, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti dan menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI di negara ini.
"Peralihan ini bukan sekadar penerapan teknologi baharu, tetapi menuntut transformasi menyeluruh dalam cara kita merancang, mentadbir dan mengurus bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, pembangunan Bandar AI memerlukan ekosistem yang kukuh melibatkan pelbagai aspek penting, bukan sahaja terhad kepada teknologi tetapi juga sumber manusia.
"Usaha ini memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab," katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa mesyuarat bersetuju supaya Kementerian Digital Malaysia bertindak sebagai penyelaras utama dalam pelaksanaan inisiatif tersebut.
"Sementara Kerajaan akan terus memperkukuh sinergi ini bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan berimpak tinggi, demi manfaat menyeluruh kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global," katanya lagi.




Comments