top of page

Malaysia bantah serangan AS-Israel, mungkin merebak ke Turkiye

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read
Konflik Asia Barat berpotensi merebak ke Turkiye Dewan Rakyat diberitahu. Foto: Jab Penerangan
Konflik Asia Barat berpotensi merebak ke Turkiye Dewan Rakyat diberitahu. Foto: Jab Penerangan

Malaysia menegaskan bahawa serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran adalah tindakan yang bertentangan dengan peraturan tatanan dunia dan perlu dibantah dengan tegas.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak mempunyai pilihan selain menyatakan pendirian jelas terhadap tindakan ketenteraan tersebut yang disifatkan melanggar norma antarabangsa.


"Sebab itu, kita tidak ada pilihan melainkan untuk menyatakan dengan tegas dan jelas bahawa tindakan ini adalah bertentangan dengan peraturan tatanan dunia dan harus dibantah dengan keras," katanya ketika berucap di Dewan Rakyat pada sesi pagi.


Beliau menegaskan bahawa selain perdamaian, langkah penting ialah mendapatkan kerjasama negara-negara Teluk supaya kembali bersatu, mengadakan rundingan serta mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau berkenaan.


Menurutnya, jika tiada kesepakatan serantau, konflik berisiko merebak dari satu negara ke negara lain, malah terdapat amaran terbaharu yang turut menyentuh kemungkinan ancaman terhadap Turkiye.


"Giliran satu negara ke negara yang lain akan terus berlaku sepertimana yang pernah diungkapkan oleh beberapa pemimpin Israel, dan yang terkini memberi amaran kepada pemerintah Turkiye bahawa mereka juga tidak terlepas daripada kemungkinan serangan Israel," katanya.


Pada masa sama, Perdana Menteri menekankan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat sentiasa terjamin.


"Sebagai Kerajaan kita bertanggungjawab untuk memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin keselamatannya," ujar beliau.


Anwar memaklumkan ramai rakyat Malaysia terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan, termasuk mereka yang bekerja, menetap, pelancong serta jemaah umrah.


Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dan tidak berdaftar di rantau Timur Tengah dianggarkan melebihi 29,112 orang, dengan tumpuan terbesar di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jordan.


PM berkata, Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) sedang memantau keadaan dari dekat melalui kedutaan-kedutaan Malaysia dan bersedia membantu membawa pulang rakyat sekiranya perlu, walaupun usaha itu berdepan kekangan penerbangan.


Setakat ini, penerbangan dari Arab Saudi dibenarkan, manakala negara lain masih belum mendapat kepastian.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page