Malaysia bangkit semula era PMX - Sim Tze Tzin
- Redzuan Shamsudin

- Mar 18, 2024
- 1 min read

Pasca lawatan rasmi Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman baru baru ini, dunia kembali menumpukan perhatian ke atas Malaysia sebagai sebuah negara yang kembali berpengaruh di Asia Tenggara.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, karisma Anwar dan pemulihan ekonomi jelas mengesan dalam tajuk tajuk media berprestij dunia seperti laporan New York Times (13 Mac), Malaysia Rises as Crucial Link in Chip Supply Chain dan Financial Times (UK) (11 Mac) Malaysia: the surprise winner from US-China chip wars yang menghuraikan kejayaan industri berteknologi tinggi negara.

"Perakuan (media Barat) amat jelas dari akhbar United Kingdom dan Amerika Syarikat yang berpengaruh, merupakan pencapaian besar kerana sebelum ini Malaysia jarang dilaporkan positif sejak (skandal) 1MDB," kata Tze Tzin dalam kenyataannya di X.
Bagi Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia itu, PMX menepati peranannya sebagai 'pegawai pemasaran' terbaik yang menjual nama besar Malaysia di luar negara sebagaimana beliau melakukannya sewaktu menjawat sebagai Menteri Kewangan pada 1990an lalu.
"PM atau Ketua Pegawai Jualan Malaysia @anwaribrahim telah berjaya meletakkan Malaysia kembali dalam persaingan global sekali lagi dalam tempoh 15 bulan (setelah berkuasa)
"Kredit juga diberikan kepada semua (pemain) industri berteknologi tinggi, usahawan dan jurutera yang bekerja tanpa jemu (dalam industri cip)," katanya.
Sehubungan itu, kata Tze Tzin, rakyat Malaysia selepas ini mempunyai asas yang kuat untuk tidak lagi 'malu' membawa beban negara penuh skandal tetapi membawa imej kawasan pertumbuhan baharu industri cip dan elektronik dunia.
"Masa depan Malaysia cerah. (Jadi) mari fokus kepada ekonomi dan Jadikan Malaysia Bangkit Semula," tegas Tze Tzin lagi.




Comments