Malaysia bakal perkenal undang-undang urus AI, teknologi perlu ada etika - PM
- Suara Keadilan

- 1 day ago
- 3 min read

Malaysia sedang menyiapkan rangka undang-undang baharu berkaitan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian usaha memperkukuh kawalan terhadap teknologi digital yang berkembang pesat termasuk aspek keselamatan data, keselamatan siber dan etika penggunaan teknologi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rangka perundangan itu akan melengkapi undang-undang sedia ada ketika kerajaan mempercepatkan usaha membangunkan ekonomi digital yang lebih selamat, inklusif dan berdaya saing.
"Kita mahu memastikan kita berada pada tahap terbaik kerana rang undang-undang ini akan melengkapi kerangka sedia ada termasuk Akta Keselamatan Siber dan undang-undang perlindungan data," katanya dipetik ketika merasmikan Pusat Pembangunan Global (GDC) Ant International di Kuala Lumpur hari ini.
Perdana Menteri berkata “kepercayaan digital adalah asas kepada pembinaan negara digital” dan ia menjadi fokus dalam pelan ekonomi digital negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pembangunan teknologi tidak boleh mengorbankan nilai kemanusiaan, meskipun kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan pantas.
"Kita mesti memastikan pertimbangan manusia kekal di pusat proses membuat keputusan walaupun mesin menjadi semakin canggih," katanya.
Beliau berkata AI kini mengubah landskap ekonomi global termasuk perdagangan, kewangan, penilaian kredit dan pengurusan risiko rentas sempadan.
"Era kecerdasan buatan akan mengubah bukan sahaja cara perniagaan beroperasi tetapi juga cara perdagangan dijalankan," katanya.
Namun beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi mesti disertai nilai etika dan tanggungjawab bagi mengelakkan ketidaksamarataan dalam sistem ekonomi.
"Apa gunanya teknologi baharu jika kita tidak dapat memastikan ia memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat kita?” katanya, sambil menekankan keperluan akauntabiliti, ketelusan dan tanggungjawab."
Beliau mengulangi kritikannya bahawa sistem kewangan global masih tidak seimbang, dengan kelebihan sering memihak kepada syarikat besar berbanding perniagaan kecil serta negara membangun.
Ini termasuk struktur ekonomi yang “sangat bergantung kepada dolar dan lazimnya memberi manfaat kepada syarikat multinasional besar berbanding pemilik perniagaan kecil,” katanya.
Dalam konteks hubungan antarabangsa, Anwar berkata Malaysia terus memperkukuh kerjasama dengan China termasuk penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dua hala yang meningkat daripada sekitar 5 peratus kepada 18 peratus.
"Kenapa? Kerana keyakinan dan komitmen bersama untuk memastikan perubahan ini memberi manfaat kepada kedua-dua ekonomi dan rakyat," katanya.
Beliau turut merujuk kepada risiko sistem kewangan global yang saling berkait, termasuk kesan krisis kewangan 2008 yang bermula di Amerika Syarikat tetapi merebak secara global.
Anwar berkata teknologi seperti AI dan sistem digital perlu diurus dengan berhati-hati kerana kuasa kini semakin tertumpu kepada pihak yang mengawal data dan infrastruktur digital.
"Teknologi ini juga menumpukan kuasa besar di tangan mereka yang mengawal data, platform dan infrastruktur digital," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi malah sedang membina kedudukan sebagai peneraju ekonomi digital serantau yang inklusif dan berdaya saing.
"Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi tetapi muncul sebagai peneraju ekonomi digital yang berdaya saing, inklusif dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat," katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara industri, universiti dan pusat penyelidikan dalam membangunkan bakat masa depan serta mempercepat adaptasi teknologi baharu.
"Kita di negara ini mengambil kesempatan ini dengan sebaik mungkin," katanya.
Anwar berkata pelaburan dalam ekosistem digital seperti penubuhan GDC Ant International mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dan hala tuju ekonomi negara.
Beliau berkata Malaysia akan terus memperkukuh daya tahan ekonomi melalui inovasi, perluasan akses kewangan dan sistem yang lebih inklusif.
"Kita perlu menilai risiko dan pada masa sama memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan. Itulah asasnya," katanya.




Comments