Malaysia, ASEAN harus hati hati hadapi agenda geopolitik AS - Khalid Samad
- Suara Keadilan

- Aug 1
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan minat yang ditunjukkan Amerika Syarikat (AS) terhadap ASEAN, namun memberi amaran agar Malaysia dan negara-negara rantau ini tidak terperangkap dalam agenda geopolitik kuasa besar itu.
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad (gambar), sokongan dan kehadiran Presiden AS Donald Trump, dalam Persidangan ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini adalah satu pengiktirafan terhadap peranan penting ASEAN tetapi mesti disambut dengan penuh kewaspadaan.
"Minat dan keinginan ini dialu-alukan selagi mana ianya tidak bertujuan untuk mempengaruhi atau memaksa ASEAN ke arah hala tuju yang diinginkan oleh Amerika, demi kepentingan Amerika dan bukan kepentingan ASEAN itu sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke (RMK) -13 baru-baru ini, bahawa Presiden Trump telah menyatakan penghargaan atas kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam usaha perdamaian antara Thailand dan Kemboja.
Namun begitu, Khalid mengingatkan bahawa dasar luar AS sering dicorakkan oleh kepentingan Zionis Israel melalui pengaruh kuat lobi politik seperti American Israel Public Affairs Committee (AIPAC).
"Dasar yang dilaksanakan AS banyak dicorakkan oleh kepentingan Zionis Israel atas sebab ramai pimpinan politik Amerika dibiayai oleh Zionis melalui AIPAC. Ini terbukti melalui apa yang sedang berlaku di Gaza, yang walaupun jelas kezalimannya, terus disokong dan dibiayai AS," katanya.
AMANAH, kata Khalid, menegaskan bahawa Malaysia harus terus mengamalkan dasar berkecuali (non-aligned) yang telah lama menjadi teras dalam hubungan antarabangsa negara.
"Parti Amanah Negara ingin memesan kepada kerajaan dan Perdana Menteri supaya sentiasa berwaspada dengan mainan politik AS, termasuk Presidennya, dan jangan meletakkan nasib rantau ini dalam tangan atau di bawah kekuasaan mereka," ujar Khalid.
Menurutnya, hubungan Malaysia dengan negara-negara anggota BRICS juga perlu diperkukuhkan demi keseimbangan kuasa dan kepentingan bersama dalam rantau ini.
"Selari dengan pendekatan non-aligned ini, persahabatan dengan semua pihak dialu-alukan, demi mengekalkan keamanan dan pembangunan bersama di rantau ini. Namun segala usaha adu-domba serta pecah-belah dan perbalahan perlu ditentang sewajarnya," katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa era “satu kuasa besar dunia” telah berakhir, dan ASEAN tidak perlu tunduk kepada segala cadangan yang dikemukakan oleh Presiden AS.
"Tiada keperluan Malaysia dan ASEAN mengiyakan apa sahaja perancangan yang dikemukakan Donald Trump. Sudah pasti cadangan-cadangan yang dikemukakan beliau bertujuan menjaga kepentingan AS dan sekutu-sekutu utama AS, khususnya Israel," tegasnya.
AMANAH menggesa kerajaan Malaysia agar kekal teguh mempertahankan kedaulatan dasar luar negara dan tidak membenarkan mana-mana kuasa luar mencatur masa depan rantau ini.









Comments