top of page

Malaysia anjur tiga program utama pembangunan bandar mampan ASEAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 9
  • 2 min read

Menteri KPKT, Nga Kor Ming dalam majlis pelancaran MGMAC
Menteri KPKT, Nga Kor Ming dalam majlis pelancaran MGMAC

Oleh: Azuan Ab Rahman


Malaysia bakal mengorak langkah besar sebagai pemimpin serantau dalam pembangunan bandar mampan.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi tiga acara utama peringkat ASEAN berkaitan isu pembangunan tersebut bersempena peranan selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Perhimpunan UN-Habitat.


Beliau menjelaskan, tiga acara tersebut ialah Forum Perbandaran Mampan ASEAN (ASUF), Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN (AGMF), serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC).


"ASUF, AGMF dan MGMAC ini akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan diplomatik antara bandar-bandar ASEAN, memperkasa inovasi dasar, dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam agenda pembandaran mampan.


"Ia akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 10 hingga 15 Ogos depan," katanya dalam satu kenyataan.


Menerusi kenyataan sama beliau memaklumkan, acara tersebut bakal mengangkat tema “Bandar dan Wilayah Masa Depan ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan”.


Tema itu dipilih bagi menggambarkan wawasan jangka panjang dalam pembangunan bandar di peringkat serantau yang memberi penekanan kepada dua keutamaan utama iaitu memupuk keterangkuman dan kemampanan sebagai asas kepada perancangan bandar masa depan.


"Program selama lima hari ini dijangka menghimpunkan 10 gabenor dan datuk bandar dari ibu kota ASEAN, 156 Pihak Berkuasa Tempatan, 8,000 peserta termasuk wakil dari lebih 500 bandar di seluruh ASEAN serta pihak-pihak berkepentingan


"Setakat ini, lebih 6,000 peserta telah mendaftar menerusi portal rasmi dan ini satu pencapaian yang membuktikan momentum positif dan keyakinan komuniti serantau terhadap penganjuran ini," jelasnya.


Sementara itu, Nga Kor Ming turut memaklumkan pihaknya turut menerima jumlah permohonan luar biasa bagi program sukarelawan dari pelbagai negara ASEAN.


"200 sukarelawan belia ASEAN telah terpilih daripada lebih 600 permohonan termasuk dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand. Ia mencerminkan kesatuan serantau," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page