top of page

Malaysia ambil maklum Iran sedia runding tamat perang secara muktamad - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 4 hours ago
  • 1 min read
DS Anwar menghubungi rakan sejawatnya Masoud Pezeshkian membincangkan situasi perang Iran-AS, Israel
DS Anwar menghubungi rakan sejawatnya Masoud Pezeshkian membincangkan situasi perang Iran-AS, Israel

Malaysia mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding dengan syarat penamatan perang secara muktamad, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata pengalaman sebelum ini membuktikan gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan seperti di Gaza dan Lebanon.


"Saya turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.


"Justeru itu, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan," katanya dalam hantaran di media sosial.


Beliau berkata demikian ketika mengulas perbualan telefonnya dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.


Perdana Menteri berkata Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.


Justeru itu, katanya Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran.

Dalam masa sama, jelas beliau Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.


Katanya Malaysia juga mengutuk sebarang tindakan menyasarkan orang awam kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan.


Terdahulu Anwar menyatakan pihaknya menghargai atas penghargaan Presiden Pezeshkian terhadap sokongan Malaysia dan komited untuk terus memperkukuh solidariti ini.


"Malaysia merakamkan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar yang menimpa kepimpinan tertinggi negara, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan di samping nyawa tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.


"Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page