top of page

Majukan N Sembilan koridor tengah pembangunan negara - MB

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Jul 21
  • 3 min read
Manifesto PH menjanjikan peluang ekonomi, pendidikan dan pentadbiran lebih baik untuk lima tahun.
Manifesto PH menjanjikan peluang ekonomi, pendidikan dan pentadbiran lebih baik untuk lima tahun.

Pakatan Harapan (PH) tampil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini bukan sekadar membawa janji baharu sebaliknya menawarkan manifesto yang berasaskan rekod pencapaian sepanjang lapan tahun mentadbir negeri serta visi menjadikan negeri ini sebagai hab pertumbuhan baharu negara.


Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pelancaran manifesto itu bukan sekadar acara politik sebaliknya merupakan pembaharuan amanah kepada rakyat untuk mempertahankan segala kejayaan yang telah dibina, memperbaiki kelemahan yang masih ada serta memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah negeri yang lebih maju, makmur dan bermaruah.


Beliau berkata mandat yang diberikan rakyat kepada PH pada 2018 diterjemahkan melalui pentadbiran yang mengutamakan tadbir urus baik, kestabilan politik dan pembangunan berteraskan kebajikan rakyat.


"Rakyat tidak memilih kami untuk mencari alasan. Rakyat memilih kami untuk bekerja, memulihkan ekonomi, memperbaiki pentadbiran, meningkatkan kebajikan rakyat, membuka lebih banyak peluang kepada anak muda serta membina sebuah kerajaan yang bersih, stabil dan berkesan," katanya pada majlis pelancaran manifesto PH dengan tema 'Negeri Sembilan Kekal Harapan di Seremban malam tadi.


Hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Setiausaha Agung KEADILAN Dr Fuziah Salleh, Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amiruddin Shari dan Setiausaha Agung AMANAH Faiz Fadzil serta pemimpin-pemimpin PH negeri.


Hadir sama calon-calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembulan.


Manifesto yang membawa hasrat "Bersama Membina Negeri Sembilan Maju menjelang 2045 itu menggariskan 10 komitmen Utama Pakatan Harapan.


Menurut Aminuddin, sepanjang tempoh pentadbirannya, kerajaan negeri berjaya mengukuhkan kedudukan kewangan negeri, menarik pelaburan strategik yang mewujudkan peluang pekerjaan baharu, memperluaskan bantuan kebajikan dan terus memperkasakan sektor pendidikan serta institusi agama.


Beliau menegaskan PH kembali mendapatkan mandat rakyat bukan dengan retorik, tetapi berbekalkan pengalaman mentadbir dan hasil yang telah dicapai.


Aminuddin turut menggariskan visi menjadikan Negeri Sembilan sebagai "Central Corridor Pembangunan Baharu Malaysia", iaitu koridor pembangunan yang menghubungkan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai satu ekosistem ekonomi yang saling melengkapi.


Katanya, kedudukan strategik Negeri Sembilan, rangkaian logistik, tanah pembangunan, institusi pendidikan serta sumber tenaga kerja menjadikan negeri itu mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai pusat teknologi, inovasi dan logistik negara.


"Negeri Sembilan bukan lagi negeri di tengah perjalanan, tetapi akan menjadi pusat kepada perjalanan pembangunan baharu negara," katanya.


Beliau berkata, pembangunan negeri tidak boleh diukur semata-mata melalui angka pelaburan atau pembinaan bangunan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, pemilikan rumah, peningkatan pendapatan, kesejahteraan warga emas dan masa depan lebih cerah untuk generasi muda.


Aminuddin turut menyatakan hasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai model pembangunan paling seimbang di Malaysia dengan pembangunan industri yang bergerak seiring pemodenan sektor pertanian, pemeliharaan alam sekitar, pemerkasaan budaya serta peningkatan kualiti hidup rakyat.


Menurutnya, pilihan raya kali ini bukan sekadar menentukan siapa yang mentadbir negeri, tetapi menjadi penentu sama ada Negeri Sembilan akan terus dipimpin kerajaan yang stabil, berintegriti dan mempunyai perancangan jelas atau kembali kepada politik yang tidak menentu.


"Saya percaya rakyat sudah matang. Rakyat mahukan masa depan yang lebih baik, bukannya politik yang memecah-belahkan masyarakat," katanya.


Aminuddin Harun menegaskan, beliau tidak mahu anak-anak Negeri Sembilan membesar dengan impian untuk meninggalkan negeri itu, sebaliknya mahu mereka yakin bahawa masa depan terbaik mereka berada di tanah kelahiran sendiri.


Justeru itu, beliau berkata kerajaan negeri akan terus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda, memperkukuh institusi Islam, memelihara kebajikan masyarakat serta memastikan setiap keputusan dibuat demi kepentingan generasi akan datang.


"Saya tidak mampu menjanjikan bahawa perjalanan lima tahun akan datang sentiasa mudah kerana dunia sedang berubah, ekonomi global semakin mencabar dan persaingan semakin sengit.


"Tetapi saya boleh berjanji, selagi diberikan amanah, saya akan terus memimpin negeri ini dengan penuh tanggungjawab, mengurus kewangan negeri secara berhemah dan terus membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak muda," katanya.


Menurut beliau, visi Koridor Tengah Pembangunan Harapan Malaysia yang digariskan bukan sekadar mahu menjadikan Negeri Sembilan lebih maju malah membentuk sebuah negeri yang seimbang dari segi pembangunan, lestari alam sekitarnya serta mempunyai kualiti hidup yang tinggi.


Aminuddin mengajak seluruh rakyat berganding bahu membina Negeri Sembilan yang lebih maju, inklusif, berdaya tahan dan membanggakan demi anak cucu pada masa hadapan.


"Inilah perjuangan kita, inilah amanah kita, inilah misi kita. Lapan tahun berbeza, lima tahun berlonjak. Negeri Sembilan bakal menjadi nadi kepada pembangunan Harapan Malaysia.


"Negeri Sembilan Maju 2045. Kekal Harapan, Kekal Kestabilan. Bersama membina masa depan Negeri Sembilan," laungnya sambil disambut bersama-sama lebih 1,000 penyokong PH.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page