Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyifatkan kesediaan kerajaan-kerajaan negeri untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memalukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, tiga negeri sudah menetapkan tarikh manakala lima lagi negeri sedang memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Setakat ini, sudah ada 3 DUN yang kenal pasti tarikh sidang iaitu Selangor pada minggu ke-3 Ogos, Melaka pada pertengahan Julai dan Perlis pada 24 Ogos.
“Ada 5 DUN yang telah atau akan mohon perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk adakan sidang iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang, Johor dan Perak.
“Manakala ada 3 DUN yang kata akan bersidang hanya selepas Parlimen bersidang, atau jika ada arahan pemimpin iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah,” katanya.
Bukan itu sahaja, DUN Sabah juga akan diadakan jika mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN), manakala Sarawak pula bersedia untuk Pilihan Raya Negeri.
“Nampaknya majoriti DUN lebih berani dan bersedia menjunjung titah Raja-Raja Melayu untuk bersidang berbanding Muhyiddin Yassin, yang setakat ini hanya berani mengumumkan satu lagi jawatankuasa untuk “teliti” itu ini. Malu.
“Tunggu apa lagi, Muhyiddin mesti segera nasihati Tuanku untuk buka Parlimen Malaysia secepat mungkin!” katanya.
Comments