top of page

Majlis Presiden PH tegaskan tiada siapa mengatasi undang-undang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
4 hours ago
1 min read

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan pendirian gabungan itu bahawa prinsip kedaulatan undang-undang perlu terus dipertahankan susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak.


Dalam kenyataan media hari ini, Majlis Presiden PH berkata pihaknya berdiri teguh dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta nasihat Peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) kepada Lembaga Pengampunan.


"Majlis Presiden PH tegas berdiri teguh dengan pendirian YAB Perdana Menteri, dan juga nasihat daripada Peguam Negara serta Menteri Wilayah kepada Lembaga Pengampunan pada hari ini," kata kenyataan itu.


Majlis Presiden PH turut menyatalan prinsip bahawa tiada mana-mana individu mengatasi undang-undang, manakala mereka yang disabitkan kesalahan perlu menjalani hukuman berdasarkan lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.


"Majlis Presiden juga menegaskan bahawa tiada siapa yang mengatasi undang-undang.


"Sesiapa sahaja yang disabit kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.


Pendirian itu dibuat sejurus Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.


Sementara itu, Majlis Presiden PH memberi jaminan bahawa gabungan itu akan terus membawa agenda reformasi dan usaha membanteras rasuah.


"Majlis Presiden berazam akan meneruskan usaha membanteras rasuah, mengangkat agenda Reformasi dan membersihkan negara dari unsur-unsur rasuah dan penyelewengan," kata kenyataan itu lagi.


Sebelum ini, PM Anwar menegaskan keputusan pengampunan bersyarat berkenaan tidak menjejaskan pendirian kerajaan untuk meneruskan tindakan terhadap semua kes rasuah mengikut landasan undang-undang.


Keputusan pengampunan bersyarat Najib dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page