Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh perbahasan Rang Undang undang (RUU) Anti Lompat Parti yang akan diadakankan esok dan lusa.
Hal itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Presiden PH di bangunan Parlimen hari ini.
"Pakatan Harapan mengambil pendirian menyokong penuh RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung anti lompat parti yang bakal dibahas di Parlimen pada 27 dan 28 Julai 2022," kata kenyataan Majlis Presiden PH.
Bagaimanapun dalam kenyataan yang sama Majlis Presiden PH menolak RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) yang dibentang di Parlimen kerana dianggap tidak memenuhi hasrat reformasi institusi yang diperjuangkan.
"PH mengambil pendirian RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 (IPCC) yang dibentang di Parlimen tidak memenuhi hasrat reformasi institusi yang diharapkan, mempunyai banyak kepincangan dan lebih lemah berbanding badan EAIC yang wujud sekarang dan RUU IPCMC yang pernah dicadangkan dahulu," kata mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, RUU IPCC mempunyai kelemahan-kelemahan yang serius dan dikhuatiri tidak mampu meningkatkan integriti pasukan polis.
Antara yang dikritik Majlis Presiden PH ialah anggota Suruhanjaya tidak berkecuali dan boleh dilucutkan bila-bila masa tanpa sebab; Setiausaha Suruhanjaya dilantik Menteri Dalam Negeri, manakala EAIC melantik setiausahanya sendiri pada masa ini; IPCC tiada kuasa siasatan seperti yang ada pada EAIC; IPCC tidak membolehkan Suruhanjaya meneliti hal-hal di bawah Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO); dan IPCC tiada peruntukan untuk suatu lembaga tatatertib.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau
Ingin mengentahui berita semasa