top of page

Majlis perundingan ekonomi: Cadangan Dr Samsuri retorik akademik, tidak praktikal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Cadangan Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr Sam) untuk menubuhkan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi bagi menangani isu pengurangan pengurangan subsidi dan kesan kenaikan harga akibat perang di Asia Barat disifatkan sebagai retorik akademik yang tidak menawarkan penyelesaian ekonomi sebenar.


Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, cadangan tersebut bukanlah idea baharu, sebaliknya hanya mengulangi pendekatan lama yang tidak mengambil kira struktur pentadbiran sedia ada.


"Kenyataan terbaru yang mencadangkan supaya kerajaan kembali (respons) kepada cadangan Dr Sam kononnya bagi mengatasi kesan pengurangan kuota RON95 sebenarnya lebih bersifat retorik akademik daripada solusi ekonomi sebenar," katanya dalam satu kenyataan.


Ahmad Nadhir menjelaskan bahawa Malaysia telahpun mempunyai pelbagai institusi ekonomi seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Kementerian Ekonomi, Bank Negara Malaysia serta Unit Perancang Ekonomi yang berfungsi merangka dasar ekonomi negara dan boleh memberi nasihat kepada kerajaan dalam suasana ekonomi sukar.


Begitu juga katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang pada waktu ini dianggotai oleh golongan akademik serta profesional yang memberi nasihat berdasarkan situasi ekonomi semasa domestik dan global.


"Jadi persoalannya, kenapa perlu tambah lagi majlis baharu? Ini menunjukkan cadangan tersebut lebih kepada retorik akademik tanpa memahami struktur pentadbiran sebenar," katanya.


Menurut kenyataan berkenaan, cadangan tersebut juga dilihat tidak mengemukakan langkah konkrit bagi menangani isu utama seperti pengurangan beban subsidi, kawalan inflasi dan perlindungan fiskal negara.


"Tiada solusi ekonomi sebenar dikemukakan. Pendekatan yang dibawa lebih kepada ‘berbincang dahulu’, bukan ‘menyelesaikan masalah sekarang’."


Tambah Ahmad Nadhir itu, cadangan Dr Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengabaikan realiti fiskal negara termasuk kos subsidi petrol yang tinggi sehingga kerajaan terpaksa melakukan pelarasan kuota subsidi RON95 baru baru ini.


"Langkah pengurangan kuota sebenarnya bertujuan mengurangkan pembaziran, memfokuskan subsidi kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan melindungi kewangan negara," katanya.


Selain itu, kenyataan tersebut juga memberi amaran bahawa pelaksanaan cadangan majlis perundingan ekonomi berkenaan berpotensi melambatkan proses membuat keputusan ekonomi dan reformasi subsidi.


"Jika cadangan ini dilaksanakan, ia memerlukan pembentukan majlis baharu, perbincangan panjang dan kajian semula yang akhirnya melambatkan reformasi ekonomi."


Kenyataan itu juga menekankan bahawa pengurangan kuota RON95 tidak memberi kesan kepada majoriti rakyat memandangkan purata penggunaan bahan api RON95 adalah sekitar 100 liter sebulan, jauh di bawah had baharu yang ditetapkan kerajaan iaitu 200 liter sebulan.


"Majoriti rakyat tidak terkesan langsung, dan naratif bahawa ia memberi tekanan besar kepada ekonomi rakyat adalah dibesar-besarkan," menurut kenyataan itu.


Sehubungan itu, Ahmad Nadhir berkenaan menegaskan bahawa negara memerlukan keputusan yang betul dalam mengurus ekonomi, bukannya cadangan yang disifatkan hanya bersifat retorik tanpa pelan tindakan jelas.


"Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, Malaysia memerlukan keputusan berani dan praktikal, bukan cadangan yang kelihatan bijak tetapi sebenarnya overrated dan tidak menyelesaikan masalah sebenar rakyat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page