Dakwaan RM9.5 juta: Cubaan bina persepsi jahat - KEADILAN Hang Tuah Jaya
- Redzuan Shamsudin
- 8 hours ago
- 1 min read

KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya, Melaka mengecam sekerasnya tindakan seorang ahli perniagaan yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas dengan cuba mengaitkan seorang Ahli Parlimen parti itu dalam dakwaan bayaran RM9.5 juta.
Ketua Penerangan KEADILAN Hang Tuah Jaya, Ts Yazid Borhan (gambar) berkata, kenyataan yang berubah-ubah mengenai pemberian wang berkenaan oleh ahli perniagaan terbabit jelas menunjukkan percubaan mengelirukan rakyat.
"Kenyataan yang berubah-ubah daripada mendakwa ia sebagai rasuah, kemudian menukar naratif kepada ‘bayaran perkhidmatan’ jelas menunjukkan percubaan terdesak untuk mengelirukan rakyat serta membina persepsi jahat terhadap KEADILAN," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tuduhan tersebut juga menimbulkan persoalan memandangkan ia dibuat ketika individu berkenaan sendiri berdepan tekanan dan siasatan berkaitan isu lain.
"Lebih mencurigakan, tuduhan ini dilemparkan ketika beliau sendiri sedang berdepan tekanan dan siasatan berkaitan isu yang serius," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan dakwaan itu sengaja direka bagi membina naratif politik tertentu termasuk untuk mendapatkan perlindungan atau suaka politik.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa KEADILAN kekal berpegang kepada prinsip integriti dan ketelusan serta menggesa siasatan menyeluruh dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
"Sebarang dakwaan serius wajib disiasat secara menyeluruh oleh SPRM. Tuduhan tanpa bukti yang sah adalah satu bentuk fitnah yang tidak boleh dibiarkan," katanya.
Tambahnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak termasuk individu yang cuba memperalatkan naratif politik ketika berdepan siasatan.
"Kami menuntut agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana ‘jerung korporat’ dan orang tengah yang cuba memperalatkan naratif politik apabila berdepan siasatan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak yang cuba memainkan persepsi dan memburukkan institusi politik demi kepentingan sendiri perlu dibawa ke muka pengadilan.
KEADILAN Hang Tuah Jaya, katanya, akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip kebenaran dan integriti, selari dengan semangat Malaysia MADANI.
