top of page

Majlis Media Malaysia: Selesai perkara asas MMM akan bergerak - Fahmi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh: Akmal Manaf


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan terdapat beberapa perkara asas yang perlu diuruskan terlebih dahulu sebelum penubuhan secara rasmi Majlis Media Malaysia (MMM).


"Saya sangat gembira dapat bertemu dengan ahli-ahli jawatankuasa MMM. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup baik dalam usaha kita untuk menubuhkan MMM.


"Mereka ada memaklumkan sebelum boleh berjalan kena bertatih dulu. Jadi ada beberapa perkara asas yang perlu diuruskan terlebih dahulu.


"Mereka juga memberitahu memerlukan sedikit masa untuk mengurusan aspek-aspek pentadbiran dan setelah beberapa perkara asas ini dapat diselesaikan, mereka memberi komitmen untuk menguruskan isu kod etika bagi para wartawan.


"Ia termasuk mekanisme untuk menerima aduan daripada orang ramai mengenai isu berkaitan dengan pelaporan media," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Beliau ditanya pemberita mengenai perkembangan terbaharu penubuhan MMM itu yang secara amnya bertujuan untuk menjaga kepentingan akhbar dan media, sekaligus menjaga kepentingan negara.


Dalam pertemuan dengan ahli jawatankuasa MMM itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan sempat memberikan sedikit maklumat mengenai Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta yang baru sahaja tutup fasa pertama.


Dengan dana itu, Fahmi berkata beliau berhasrat untuk memastikan organisasi media terutama yang bersifat legasi seperti surat khabar, radio, televisyen yang mula melalui proses pendigitalan, memanfaatkan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).


"Bukan untuk membuang pekerja, menggantikan wartawan atau jurukamera, tapi untuk mendampingi mereka.


"Saya telah maklumkan perkara itu kepada mmm dan mereka amat menghargai usaha ini," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page