Majlis Media Malaysia: Komitmen kerajaan pastikan maklumat sahih, media bertanggungjawab
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang sahih dan seimbang melalui penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang berkuat kuasa pada 14 Jun lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar), berkata penubuhan majlis di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) membuktikan usaha kerajaan memperkukuh kebebasan media tanpa mengabaikan standard kewartawanan beretika, profesional dan bertanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pengamal media di negara ini.
"Kerajaan MADANI sentiasa menghormati prinsip kebebasan media sebagai tonggak penting dalam sistem demokrasi. Namun kebebasan ini mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab.
"Di bawah Akta 868, MMM juga mempunyai kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli yang melanggar etika atau peraturan ditetapkan.
"MMM bukan sahaja berfungsi sebagai ‘pengawas’ etika kewartawanan tetapi juga menyediakan mekanisme menyelesaikan aduan orang awam bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sahih dan diyakini," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata begitu sebagai menjawab soalan lisan dikemuka Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tentang langkah yang diambil atau dirancang oleh kerajaan untuk melindungi imejnya di tengah-tengah dakwaan ia tidak dapat mengawal media daripada mencemarkan nama baik pemimpin kerajaan dan pentadbiran.
Sementara itu Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut memaklumkan, MMM telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada 7 November lalu dan meluluskan Kod Tatakelakuan serta Mekanisme Aduan.
"Ini langkah penting membina ekosistem media yang kukuh serta diyakini. Usaha ini melambangkan semangat ‘of the media, by the media, for the media’," tegas Fahmi.









Comments