top of page

Majlis Ekonomi Jingga bakal ditubuhkan, bantu pacu pertumbuhan ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 6
  • 1 min read

Kerajaan MADANI bakal menubuhkan segera Majlis Ekonomi Jingga (industri kreatif) berikutan potensinya untuk membantu pertumbuhan ekonomi dalam situasi krisis tenaga global ketika ini.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, majlis itu akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Kementerian Komunikasi selaku sekretariat.


"Industri kreatif adalah satu industri berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi dalam negara. Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, diputuskan bahawa satu Majlis Ekonomi Jingga akan dibentuk dan akan ada beberapa jawatankuasa di bawah inisiatif ini.


"Arahan telah diberikan kepada Kementerian Komunikasi untuk membentuk majlis ini pada kadar segera berikutan krisis tenaga global sedang berlaku," katanya dipetik.


Terdahulu beliau hadir ke Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Johor, di Johor Bahru.


Untuk rekod, ekonomi jingga menyumbang 6.8 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 2024.


Sementara itu sebagai mengulas kemudahan NADI, Fahmi berkata, kemudahan itu yang dilengkapi dengan kemudahan internet laju membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.


"Apatah lagi dengan adanya kecerdasan buatan (AI), kita lihat ramai yang boleh berkecimpung dalam bidang ini sama ada dalam reka grafik dalam menghasilkan kandungan bagi tujuan disiarkan dan dinikmati.


"Jadi, bagi Kementerian Komunikasi, kita lihat memang NADI akan mainkan peranan yang penting dalam kita memacu pertumbuhan dalam sektor industri kreatif," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page