top of page

Majlis Bandaraya Diraja Klang ke arah Lembang Klang Raya



Perisytiharan bandar Klang sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang pada hari ini merupakan usaha pelengkap ke arah menjadikan 3 bandar raya di Selangor yang mengelilingi Kuala Lumpur membentuk Lembah Klang Raya.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian dalam majlis perisytiharan Klang sebagai bandaraya di Hotel Wyhndam, Klang, pagi tadi.


Menurut beliau, Klang dengan ini menjadi Majlis Bandaraya Diraja ketiga di Malaysia, selain Bandaraya Alor Setar dan Bandaraya Johor Bahru.


"Bandaraya Klang telah terus berkembang menjadi antara pusat ekonomi utama negara, selain daripada satu pusat pentadbiran, pusat industri, serta pusat pelancongan yang mencerminkan kekayaan lokaliti dan masyarakat yang berbilang budaya dan fahaman.


"Klang juga merupakan tuan rumah kepada Pelabuhan Kedua belas paling sibuk di dunia dan kedua paling sibuk di Asia Tenggara iaitu di Pelabuhan Klang.


"Apabila bertemu dengan para pelabur tempatan dan luar negara, saya seringkali menyebut bahawa Selangor adalah Gateway to ASEAN, Selangor adalah pintu masuk ke Asia Tenggara, dan Klang dengan pelabuhannya adalah pintu masuk ekonomi Malaysia.


"Kini, Klang bakal dihubungkan ke jaringan pengangkutan awam yang dapat tiba di Kuala Lumpur (dengan pantas) yang dijangka siap pada tahun hadapan," katanya membayangkan masa hadapan Klang yang gemerlapan.


Selain itu, MB menegaskan, Sultan Selangor telah mengilhamkan sebuah hospital baharu untuk mengatasi kesesakan fasiliti di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang ketika ini.


Katanya, atas kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia, bidang tanah seluas 50 ekar yang disediakan di Kapar dengan fasiliti moden dilengkapi 300 katil, bagi menyelesaikan isu tempoh menunggu lama pesakit bagi mendapatkan rawatan perubatan yang bakal siap dibina pada akhir tahun 2025.


Kelang juga katanya, merupakan satu tempat yang sedang bergerak pantas ke arah menangani cabaran perubahan iklim serta menjadi bandar rendah dan neutral karbon.


Melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Worldwide Holdings, sebuah loji jana kuasa di Pulau Indah dengan kapasiti 1,200 MW dengan tahap kecekapan lebih 60% berbanding kaedah konvensional akan siap tidak lama lagi dan Majlis Bandaraya Diraja Klang dijangka menjadi antara bandar pertama di Selangor dan Malaysia mencapai status Bandar Rendah Karbon.


"Maknanya, Klang mempunyai segala asas yang diperlukan untuk mana mana bandar berkembang secara pesat dan mampan.


"Itu mendorong dan meyakinkan pentadbiran negeri bahawa Klang harus, wajar, dan mampu mengangkat cabaran untuk menjadi sebahagian daripada gagasan baharu yang ingin dibentuk untuk menjadikan Selangor bukan sekadar negeri paling maju di Malaysia, tetapi negeri paling maju di Asia Tenggara serta antara top 5 di Asia melalui Lembah Klang Raya," katanya.


Tambah beliau, Majlis Perbandaran Klang telah menyusun perancangan pembangunan bandar 3 ke 5 tahun yang melibatkan pembangunan semula bandar dengan rejuvanasi bandar-bandar utama seperti Klang, Bandar Pelabuhan Klang, pusat pertumbuhan Meru dan Kapar, di samping pembangunan bandar baru yang terancang.


Perancangan juga melibatkan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan bagi memastikan ianya diwarisi sebagai bahan sejarah dan tarikan pelancongan.


Amirudin dalam pada itu turut membayangkan era yang lebih gemilang bagi Bandaraya Klang dan Lembang Klang Raya dalam konteks pembangunan menyeluruh Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


"Saya tidak lihat mengapa Lembah Klang Raya tidak mampu menandingi dan menjadi alternatif kepada Kota Singapura ataupun Greater Seoul dan Greater Tokyo, dan dengan wujudnya kesalingfahaman dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, saya akan berbincang dengan YAB Perdana Menteri supaya Lembah Klang Raya diberikan status Zon Ekonomi Khas supaya potensi penuh keempatempat bandar ini dapat direalisasikan.


"Saya yakin dan percaya dengan adanya semangat optimis dan inovatif, kita berupaya mengekalkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri terbaik dan terus berdaya maju.


"Klang juga telah diberi peranan khusus di dalam merancang tadbir urus perubahan iklim untuk mendepani cabaran pembangunan di samping pengekalan kelestarian alam sekitar.


"Kerajaan Selangor percaya, dengan mandat dan tanggungjawab yang diberikan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang mampu mencorak pembangunan Selangor yang lebih cemerlang," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page