Pengagihan bantuan zakat melalui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu diselaraskan bersama agensi lain bagi memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan menerima bantuan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa penyelarasan itu terdapat kemungkinan satu keluarga mendapat bantuan berulang namun keluarga lain langsung tidak mendapatkannya.
"Antara tugas MAIWP supaya ada penyelarasan dengan agensi lain, kalau tidak ada satu keluarga dapat empat kali (bantuan), satu keluarga (pula) tak dapat langsung... jadi saya harap ini diurus dengan baik.
"Kerja menteri, timbalan menteri, pengerusi, bukan sekadar meneruskan kegiatan ini, sebaliknya memastikan setiap dana dan setiap sen rakyat kembali kepada rakyat, dan tak boleh diperalat untuk kesenangan peribadi," katanya lapor Bernama ketika merasmikan Karnival MAIWP 2024 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.
Di samping itu, PM juga berpesan agar MAIWP melaksanakan tatakelola baik dalam segala perbelanjaan dan menghentikan perbelanjaan yang tidak perlu.
Beliau dalam pada itu memberi tempoh sebulan kepada MAIWP untuk mengemukakan laporan terperinci serta cadangan langkah baharu berhubung bantuan zakat.
"Tanggungjawab kita (sebagai) generasi penerus ialah memastikan urusan zakat dikendali dengan cermat, sebab itu saya katakan di Pulau Pinang (sebelum ini), bagaimana mungkin kita terima kenyataan, kita kutip begitu banyak wang zakat tetapi masih ada kelompok termiskin yang tak cukup makan, yang tak dapat sediakan uniform anak sekolah, masih tidak diurus.
"Jadi saya berterima kasih kepada MAIWP dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana membantu proses pelaksanaan zakat dengan baik bersama agensi lain," katanya lagi.
Comments