top of page

Main isu perkauman dapatkan kuasa, taktik lapuk Pas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 26
  • 2 min read
ree

Pimpinan Pas menggunakan taktik lapuk dalam memainkan isu perkauman untuk menakut-nakutkan rakyat, khususnya orang Melayu, bagi meraih sokongan politik.


Menurut Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, pendekatan itu mengingatkan kepada cara lama UMNO suatu ketika dahulu, namun kini parti itu sudah tidak lagi menggunakan strategi sedemikian.


"Pimpinan Pas sekarang apa-apa isu akan diterbalikkan untuk menjadi isu perkauman, mengugut dan menakutkan rakyat, orang Melayu terutamanya, untuk beri kuasa kepada mereka (bela Melayu). Itu dulu permainan UMNO.


"UMNO dah tak buat begitu sekarang. Bersatu pun yang nama parti Melayu pun tidak sebegitu. Jadi saya terkejut," katanya dalam siri podcast terbaharu.


Rafizi menegur kenyataan pemimpin Pas yang mendakwa bidang ekonomi di Malaysia pada waktu ini semakin dikuasai bukan bumiputera.


Sedangkan, katanya, fakta sebenarnya penguasaan ekonomi Melayu adalah mendatar. Tidak berkurang, tetapi tidak berkembang.


Selain itu, beliau juga menempelak kenyataan pemimpin Pas yang mengaitkan situasi di Palestin dengan keadaan di Malaysia yang mana kononnya kaum selain Melayu boleh mengambil kesempatan sebagaimana Yahudi berjaya menubuhkan Israel.


"Macam mana Israel ditubuhkan? Itu dengan mandat British. Di Malaysia ada mandat British untuk tubuhkan negara Cina?


"Negara Israel tertubuh bukan sebab pendatang tiba tiba tipu orang Palestin. Itu kerana kuasa besar dunia ketika itu berikan negara atau mandat kepada sebuah negara Israel dan diluluskan di peringkat antarabangsa," katanya.


Sinis Rafizi, kenyataan pemimpin Pas seperti itu hanya sedap didengar di “kedai kopi”, tetapi tidak bersandarkan fakta sejarah sebenar.


Beliau turut menegaskan bahawa orang Melayu juga tidak boleh menyalahkan pihak lain atas kelemahan sendiri sebagaimana yang sering dimainkan Pas berhubung penguasaan ekonomi oleh kaum Cina.


"Saya tak pernah dididik oleh emak, ayah saya untuk menyalahkan orang lain. Dari kecil lagi saya diajar kalau nak hidup senang, kerja rajin dan belajar pandai.


"Kalau orang Melayu terus rasa semua ini salah orang lain, mati kita. Kalau selamanya kita salahkan semua orang, atau rasa ini tanggungjawab kerajaan semata-mata, mati lah orang Melayu," katanya.


Tambahnya, orang Melayu perlu sedar bahawa persaingan kini bukan hanya dengan kaum lain di dalam negara, tetapi juga dengan bangsa lain di rantau ini termasuk pendatang India, China, Indonesia, Vietnam dan lain lain yang membuka usaha atau bekerja di negara ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page