top of page

Mahu pastikan nelayan dapat lesen, jeti pendaratan ikan - Abdul Said

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 days ago
  • 2 min read

Abdul Said (duduk hadapan) akan memperjuangkan nasib nelayan di DUN Gum Gum
Abdul Said (duduk hadapan) akan memperjuangkan nasib nelayan di DUN Gum Gum

Oleh: Helmi Mohd Foad


Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi N.61 Gum-Gum, Abdul Said Pimping mahu golongan nelayan di kawasan tersebut mendapat pembelaan sewajarnya termasuk memiliki lesen dan kemudahan pendaratan hasi laut bagi meningkatkan taraf hidup mereka.


Beliau berkata perkara itu akan menjadi tumpuannya sekiranya diberikan mandat mewakili kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRN) Sabah ke-17 nanti.


"Di Sandakan, terdapat lebih 1,600 ahli persatuan dengan kira-kira 800 orang didaftarkan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Libaran.


"Saya mahu mewakili suara mereka, mahu pastikan nelayan mendapat pembelaan sewajarnya, daripada bantuan peralatan, bot kecil, lesen peralatan dan lesen bot hinggalah kemudahan pendaratan hasil laut," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat media di Bandar Labuk Jaya, Sandakan.


Abdul Said yang merupakan bekas Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Libaran berkata pengalaman selama lapan tahun menerajui pertubuhan itu menjadi kelebihan untuk beliau memahami keperluan golongan nelayan di kawasan itu.


Kata beliau, pihaknya mahu memberikan fokus bagi membantu golongan itu mendapatkan lesen yang sah bagi memudahkan mereka menerima bantuan disalurkan kerajaan.


Abdul Said bertemu pengundi
Abdul Said bertemu pengundi

Pada masa ini katanya hanya 468 daripada 800 nelayan mempunyai dokumen lengkap sebagai nelayan manakala selebihnya masih dalam proses mendapatkan lesen.


"Nelayan mesti mempunyai dokumen lengkap supaya layak menerima bantuan. Jika diberikan mandat, saya mahu bantu mereka mendapatkan lesen, peralatan dan menjadi ahli persatuan," katanya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Libaran.


Abdul Said memberitahu kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebelum ini telah meluluskan pembinaan jeti di Kampung Sungai Beruang dan Kampung Kuala Gum-Gum, masing-masing dengan kos RM200,000 bagi memudahkan golongan nelayan di kawasan itu mendaratkan hasil laut.


"Sekiranya PH memenangi kerusi DUN Gum-Gum, kami mahu memastikan kemudahan jeti pendaratan disediakan di setiap kawasan nelayan," ujarnya.


Pada PRN Sabah ke-17, Abdul Said berdepan dengan pertembungan sembilan penjuru bagi merebut kerusi Gum-Gum daripada penguasaan Warisan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page