
Usai pemilihan jawatan utama, Pemilihan KEADILAN 2022 berlegar pula dalam kempen persaingan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Salah seorang tokoh yang tidak asing lagi bertanding kerusi MPP kali ini adalah Yahya Shari.
Insan yang berjuang sejak hari pertama tercetusnya Reformasi ini berazam mahu melihat KEADILAN sekali lagi menerajui serangan Pakatan Harapan merampas Putrajaya sebagaimana Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
"Saya masuk parti dari awal sejak 1999. Saya sebagai setiausaha perhubungan Selangor yang pertama
"Kita kecapi nikmat itu (kemenangan) selepas PRU 1999, 2004 dan 2008 Selangor dapat kita tawan. Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Selangor ketika itu mewujudkan misi menawan Selangor. Kita berjaya mengambilalih bersama Barisan Alternatif dan kemudian ditubuhkan Pakatan Rakyat.
"Di peringkat pusat saya pada tahun 2000 sampai 2016 duduk dalam MPP. Selepas itu saya tidak berada di sana sampailah sekarang. Kali ini saya tawarkan sekali lagi sebagai ahli MPP.
"Cita cita saya kali ini mahu sekali lagi KEADILAN menerajui kerajaan. Pengalaman yang saya ada dalam pilihan raya, mengendalikan jentera pilihan raya, saya tawarkan kepada parti," katanya mengulas pencalonan diri beliau ke jawatan MPP dalam sidang media semalam.
Ketua Cabang KEADILAN Tanjong Karang itu berharap dengan pengalaman mengendalikan jentara menawan Selangor dan terus mempertahankannya sehingga ke hari ini akan memberi kelebihan untuk beliau duduk sebagai pembuat keputusan dalam MPP.
"Inilah sedikit pengalaman tawan Selangor dan mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) seluruh Malaysia. Kebanyakan jentera PRK ini datang dari Selangor. Jadi saya tawarkan khidmat, pengalaman kepada parti untuk membentuk jentera pilihan raya yang padu untuk menawan Putrajaya
"Dalam waktu terdekat ini saya akan lancarkan satu kerjasama dengan mahasiswa bagi jentera pilihan raya dalam bentuk sukarelawan, PACA, pengurusan parti, media dan sebagainya," katanya lagi.