
Kemenangan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) daripada KEADILAN R Yuneswaran di Parlimen Segamat pada PRU15 tahun lalu dikekalkan.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Pilihan Raya Muara, menolak petisyen pilihan raya bekas calon daripada Barisan Nasional (BN) M Ramasamy yang sebelum ini mencabar kemenangan Yuneswaran.
Hakim Radzi Abdul Hamid ketika membuat keputusan itu berkata, beliau mendapati petisyen dikemukakan Ramasamy cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Susulan itu beliau mengarahkan Ramasamy membayar kos RM30,000 masing-masing kepada Yuneswaran dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada PRU November lalu, Yuneswaran menang di Segamat dengan majoriti 5,669 undi mengalahkan Ramasamy, dan calon Perikatan Nasional, P Poobalan, selain calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey.
Ramasamy dalam petisyen yang difailkan mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya melibatkan bahan kempen.
Calon daripada MIC itu turut mendakwa Yuneswaran mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.
Comments