Mahiaddin, bersedialah menjadi Ketua Pembangkang - AMK Kedah


Pengumuman Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin kelmarin meminta kerjasama pembangkang menyokong kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja melucukan tetapi melanggar Perlembagaan negara.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammed Firdaus Johari, pengumuman itu tidak sebagaimana yang diharapkan oleh barisan hadapan memerangi Covid 19 atau rakyat yang semakin lemas diamuk pandemik, tetapi lebih kepada tawaran dan sogokan yang tidak wajar dibuat secara terang-terangan oleh seorang ketua kerajaan.


"AMK Kedah melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap Ucapan Khas Tan Sri Mahiaddin kelmarin. Beliau sendiri mengaku bahawa beliau mempunyai kelemahan dan kekurangan.


"Paling mengejutkan beliau menyatakan sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.


"Ini sekaligus mengesahkan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin beliau turut tidak mempunyai sokongan majoriti dari Ahli Dewan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi Firdaus, apabila sah sokongan tidak mencukupi Perlembagaan telah menunjukkan jalan keluar yang selayaknya buat Mahiaddin, iaitu beliau mesti meletakkan jawatan. Selepas itu sekiranya beliau berminat untuk menjadi PM semula, maka dibuka rundingan dengan pelbagai parti.


Oleh itu katanya, dengan kekurangan menyerlah skil politik Mahiaddin dan percubaan merasuah anggota pembangkang adalah lebih baik PM itu bersedia untuk menjadi Ketua Pembangkang berbanding berangan-angan meneruskan pemerintahan.


"Menurut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Sudah tentu membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya bukanlah pilihan yang terbaik buat masa ini.


"Dalam Ucapan Khas tersebut, Tan Sri Mahiaddin dilihat seolah-olah merampas kuasa dan mendahului tugas Yang Di-Pertuan Agong. Di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan, baginda Yang Di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melantik seorang PM baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.


"AMK Kedah dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tawaran dari Tan Sri Mahiaddin kepada Ketua Pembangkang iaitu akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.


"AMK Kedah ingin mencadangkan agar Tan Sri Mahiaddin sahaja bersiap sedia untuk menjadi Ketua Pembangkang, kerana beliau bukan lagi PM yang sah atau beliau boleh bersara terus daripada politik," katanya lagi.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER