top of page

Mahfuz Omar sindir Hamzah: “Jerit tepi longkang takkan jatuhkan PM”

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 6
  • 2 min read

ree

Susulan desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar (gambar) membidas tindakan Ahli Parlimen Larut itu yang disifatkannya sebagai “kebodohan politik yang semakin parah dalam kem pembangkang.”


Menurut Mahfuz, Malaysia kini menikmati kestabilan dan pemulihan ekonomi di bawah kepimpinan Anwar, namun pembangkang seolah-olah sengaja mencipta isu picisan bagi mengganggu fokus kerajaan.


"Rakyat kini menikmati kestabilan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim — ekonomi semakin pulih, pelaburan terus meningkat dan hubungan antarabangsa negara makin dihormati.


"Namun, tatkala rakyat gembira, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pula sibuk menggesa Perdana Menteri meletak jawatan hanya kerana RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta kedatangan Donald Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.


Mahfuz menjelaskan bahawa RUU PSB bukan agenda peribadi Perdana Menteri, sebaliknya sebahagian daripada proses penyelarasan teknikal antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk memastikan urus tadbir negara berjalan lancar.


"RUU PSB bukan agenda peribadi Perdana Menteri. Ia proses penyelarasan teknikal yang melibatkan sempadan negeri dan bidang kuasa persekutuan. Kalau Hamzah tidak faham proses perundangan, beliau sepatutnya belajar, bukan menyalak," kata beliau.


Mahfuz turut menyindir tindakan pembangkang yang menurutnya lebih gemar mencetuskan sensasi politik berbanding membawa idea membina.


Katanya, jemputan ke atas Presiden Amerika Syarikat yang dipertikaikan pembangkang dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dan tidak wajar Hamzah menggunakan isu berkenaan sebagai modal politik mendesak PM letak jawatan.


"Nak PM letak jawatan, bawalah usul tidak percaya di Parlimen, bukan menjerit tepi longkang jalan raya depan Sogo," katanya sinis.


Mahfuz menambah, pembangkang hari ini tidak membawa cadangan atau solusi, sebaliknya hanya bergantung pada propaganda dan fitnah untuk menakut-nakutkan rakyat.


Beliau juga mempertikaikan kewibawaan Hamzah yang diangkat oleh sebahagian pemimpin Pas sebagai calon PM bagi Perikatan Nasional. Tegas Mahfuz, calon PM harus mempunyai pemikiran setaraf PM sedia ada. Sekiranya kurang daripada itu maka tidak boleh dibayangan apakah nasib rakyat jika calon berkenaan diberi kuasa.


"Inilah wajah sebenar pembangkang hari ini, tidak bawa cadangan, tidak bawa idea, hanya bawa kebisingan. Rakyat semakin matang, mereka tahu membezakan antara pemimpin yang bekerja dan pemimpin yang berdrama," ujar Mahfuz lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page