Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui rela disingkir dari partinya yang ditubuhkannya, Bersatu daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, beliau menggesa Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu mengadakan proses pemecatan dengan adil dan berhemah mengikut perlembagaan parti.
"Ada percubaan untuk singkir saya. Saya rela disingkirkan tapi perlu mengikut perlembagaan parti. Kalau nak singkir jemputlah saya," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Mahathir turut mempersoalkan mengapa mesyuarat Bersatu yang diadakan pada hari Isnin tidak menjemput pengerusi parti dan timbalan presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO pada 1999, beliau dijemput dalam mesyuarat majlis tertinggi dan tetap diberikan peluang untuk membela diri.
"Dahulu, masa saya menjadi presiden UMNO, majlis tertinggi buat keputusan untuk menyingkirkan Anwar tetapi beliau dijemput dan diberikan peluang untuk berucap," katanya.
Namun kali ini, Mahathir langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri.
"Ini tak bagi hadir, tak bagi berucap. Ini juga kesalahan besar.
"Mungkin Muhyiddin dijangkit penyakit UMNO kerana tidak ikut perlembagaan parti," katanya.
Mahathir turut meramalkan bahawa Bersatu akan kehilangan sokongan pada Pilihan Raya Umum nanti.
"Saya amat sedih kerana saya sama-sama menubuhkan parti bersatu dengan Muhyiddin, tapi tindakannya akan menyebabkan parti Bersatu hancur.
"Kalau diadakan PRU, dia akan kalah kerana tidak mendapat sokongan daripada Pakatan Harapan dan juga tidak dapat sokongan parti yang kalah iaitu UMNO.
"Jadi akan tergantung parti, tak ada siapa sokong dan hancurlah parti ini," katanya lagi.
Mahathir juga mengakui tidaklah terlalu mahukan sangat menjadi perdana menteri sekali lagi.
"Saya tidaklah berhempas pulas mahu jadi perdana menteri.
"Saya dah jadi perdana menteri dua kali dah, tapi bila ada undang-undang, kita kena patuh dengan undanng-undang," katanya.
Comments