Mahathir guna strategi pecah-perintah, tiba masa PH 'move on'



Serangan bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad terhadap Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menjelaskan niat sebenar beliau ingin menyertai Gabungan Besar Pembangkang.


Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir, tiba masanya Pakatan Harapan (PH) untuk bergerak ke hadapan tanpa membawa 'bebanan' Tun Mahathir dan rakan-rakan beliau yang akan menghuru-harakan PH sekiranya diberi kesempatan bergabung sekali lagi.


"Sikap Tun Mahathir ini menunjukkan seolah-olah kewujudan parti Pejuang itu hanya semata-mata ingin menafikan kewibawaan Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH.


"Walhal baru-baru ini Datuk Seri Anwar sekali lagi mengulangi keterbukaan beliau untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan pihak tersebut boleh menerima syarat dan prinsip perjuangan PH serta meninggalkan segala sikap dan kebobrokan lama.


"Tun Mahathir sewajarnya bermuhasabah atas sikap beliau yang sering berdolak-dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang PRU-14 lalu.


"Dalam hal ini AMK merasakan telah tiba masanya untuk PH ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Ahli Parlimen Johor Baharu itu lagi, Tun sering menggunakan strategi pecah dan perintah selama 22 beliau menjadi PM. Malangnya pada era digital ini, strategi seumpama itu sudah lapuk dan merbahaya bagi survival PH.


Katanya, PH perlu bersatu hati menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 bagi menunjukkan gabungan yang mantap berbanding Perikatan Nasional. Sebaliknya, masalah yang dibawa Tun hanya akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pembangkang menumbangkan kerajaan.


"PH perlu sedar bahawa penglibatan Dr Mahathir yang cuba menunggang jenama grand coalition hanya sekadar strategi pecah dan perintah yang sering beliau gunakan, namun kali ini strategi itu sudah lapuk.


"Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan KEADILAN dan PH," kata Akmal lagi.


Semalam dalam ucapan Mahathir di Shah Alam, Selangor, beliau sengaja menyindir Anwar dengan ungkapan, 'Anwar pi baliklah' merujuk pengumuman Pengerusi PH itu bahawa beliau telah mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri pada September tahun lalu.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio