Mahathir cemburu ketegasan Anwar bela Palestin - Wan Fauzuldin
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad (gambar, kanan) menegur kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN bulan depan.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan ketegasan dalam memperjuangkan isu Palestin dengan lantang menyuarakan bantahan Malaysia terhadap kekejaman Israel kepada pemimpin dunia termasuk Amerika, Rusia, Jerman dan Perancis.
Kehadiran Trump tidak akan menggoyahkan prinsip Anwar dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
"Tun seolah-olah lupa, ketika pentadbirannya pasukan kriket Israel pernah dibenarkan masuk ke Malaysia, malah kerajaan PN sebelum ini mengizinkan pesawat Israel melalui ruang udara negara.
"Sebaliknya, kerajaan MADANI mengharamkan sebarang urusan dengan Israel termasuk di semua pelabuhan negara, membuktikan sikap tegas dan berani dalam mengutuk rejim tersebut," katanya dalam muat naik di media sosial.
Wan Fauzuldin sementara itu menegaskan, kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN bakal menjadi ruang untuk Anwar menyatakan pendirian Malaysia secara berdepan dengan pemimpin kuasa besar itu.
"Kebijaksanaan Anwar ialah kesungguhannya menyampaikan pendirian tegas Malaysia kepada mana-mana pemimpin besar dunia. Menentang Israel bukan bermakna kita perlu bermusuh dengan negara lain sehingga merugikan rakyat dan negara.
"Sebenarnya Mahathir rasa cemburu melihat Anwar kini disanjung dan disebut di serata dunia kerana ketegasannya memperjuangkan Palestin," tambah Wan Fauzuldin.









Comments