'Mahasiswa boleh kritikal, biadap jangan' - Wanita KEADILAN Merbok
- Suara Keadilan
- Jun 28
- 1 min read

Perbuatan sekumpulan mahasiswa yang membakar karikatur Perdana Menteri semasa perhimpunan "Gempur Rasuah Sabah 2.0" di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini masih segar dibicarakan oleh rakyat terbanyak.
Bagi Ketua Wanita KEADILAN Cabang Merbok, Kedah, Siti Arteeka Hanes, mahasiswa yang diberi kebebasan oleh Kerajaan Madani untuk menyuarakan bantahan tidak seharusnya melampaui batas dengan melakukan aksi biadap yang tidak mencerminkan sikap para penuntut ilmu.
"Sebagai golongan terpelajar dan pewaris kepimpinan masa depan, mahasiswa wajar mendepani perbezaan pandangan dengan ilmu, hujah dan akhlak, bukan dengan provokasi atau tindakan simbolik yang melampaui batas kesopanan.

"Kita tidak menentang suara kritikal malah, KEADILAN lahir daripada idealisme perjuangan rakyat, tetapi biarlah teguran itu disampaikan dengan nilai, akhlak dan integriti," katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, Arteeka menyeru agar mahasiswa di negara ini mengkritik dengan adab biarpun dalam isu panas seperti rasuah yang juga menjadi perjuangan KEADILAN sejak sekian lama.
"Saya menyeru semua mahasiswa dan gerakan mahasiswa agar kembali memperkukuh budaya wacana berasaskan fakta dan tanggungjawab moral, bukannya tunduk kepada retorik kosong atau tindakan drastik yang merosakkan imej perjuangan.
"Pada masa yang sama, pihak universiti, masyarakat sivil dan pentadbiran awam perlu terus menyediakan ruang dialog terbuka dan sihat agar anak muda tidak merasa terpinggir atau terpaksa memilih tindakan yang merugikan semua pihak," katanya lagi.
Beliau berharap selepas ini mahasiswa yang menegur sistem pemerintahan melakukannya dengan lebih berhemah dan mencerminkan kebijaksanaan.
Comments