Mahasiswa bersuara tidak wajar jadi mangsa buli siber


Golongan mahasiswa berhak mengemukakan pandangan dan kritikan selagi ia tidak melampaui batas serta menjaga adab.
Ketua Cabang KEADILAN Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad menegaskan, mahasiswa seperti Ummi Umairah Bakhit tidak wajar berdepan tekanan atau menjadi mangsa buli di media sosial hanya kerana menyuarakan pandangan dan pendirian mereka dalam sesuatu isu.
"Anak-anak muda berhak untuk menyatakan pendirian mereka bahawa 'menderma' kepada seseorang penyakau dan perasuah itu suatu perbuatan yang 'bodoh'.
"Jika ada dalam kalangan orang politik atau 'ulamak-ulamak jahat' yang mahu bersimpati dengan penyakau, silakan tetapi jangan buli anak-anak muda dan mahasiswa seperti Ummi Umairah ini," katanya dalam satu kenyataan.
Ummi Umairah yang juga Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dalam satu forum terbuka baru-baru mempersoalkan tindakan orang ramai menderma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Pandangan itu kemudiannya mengundang kecaman penyokong UMNO di media sosial, termasuk komen berbaur ugutan terhadap mahasiswa berkenaan.
Pada Rabu beliau tampil mempertahankan pandangannya bahawa tindakan menderma wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit adalah perbuatan paling bodoh dan tidak bermoral.
Menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, Ummi Umairah menegaskan tidak memohon maaf susulan mengemukakan kenyataan itu.
Sementara itu menurut Wan Fauzuldin, perbezaan pandangan bukanlah suatu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada budaya intelektual yang perlu terus dipupuk.
Dalam masa sama beliau turut memuji Universiti Malaya (UM) yang mengesahkan tiada sebarang tindakan tatatertib dikenakan terhadap Ummi Umairah susulan persoalan serta pandangan yang disuarakannya itu.
"Kepada semua anak muda dan mahasiswa, teruskan memberi pandangan dan kritikan asalkan tidak melampaui batasan dan adab.
"Percayalah majoriti rakyat Malaysia akan berada di belakang kamu dan akan melindungi kamu daripada gerombolan pembuli dan penyakau itu," katanya.




Comments