top of page

MAHAR serah bantuan musim sejuk di kem pelarian Palestin di Jordan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read

Jismi Johari (kana sekali) dalam misi bantuan musim sejuka ke Palestin
Jismi Johari (kana sekali) dalam misi bantuan musim sejuka ke Palestin

Oleh: Helmi Foad


Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) telah melaksanakan misi penyaluran bantuan musim sejuk kepada pelarian Palestin di Kem Al Marka, Jordan menerusi inisiatif Tabung Kasih Johor–Palestin.


Lebih 35,000 pelarian yang mendiami kem yang dibuka selepas tragedi Nakbah 1948 menerima manfaat daripada bantuan seperti barangan makanan asas, pakaian musim sejuk dan selimut tebal.


Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 3.0 yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi meneruskan solidariti rakyat Johor terhadap perjuangan rakyat Palestin, demikian menurut kenyataan MAHAR.


Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, misi dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) itu bukan hanya bantuan fizikal, malah ia tanda kasih dan solidariti rakyat Malaysia bersama Palestin.


"MAHAR berbesar hati melaksanakan amanah ini di lapangan dan kami akan terus menjadi jambatan antara rakyat Malaysia dan mereka yang memerlukan.


"Segala misi bantuan Johor-Palestin juga adalah di bawah kerangka inisiatif Ops Ihsan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Delegasi rasmi dari Johor diketuai oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid turut hadir menyaksikan sendiri keadaan pelarian serta proses pengagihan bantuan kepada penduduk di kem tersebut.


Turut serta dalam misi itu ialah Pengarah Komunikasi MAHAR, Tengku Ain Tengku Abdullah, Pengarah Projek Khas MAHAR, Amir Arafat Mohamad Razali dan Ketua Koordinasi MAHAR, Mohd Ridhwan Mohd Rahim.


Kunjungan ini memberi makna besar kepada hubungan kemanusiaan yang terjalin antara rakyat Johor dan rakyat Palestin.


"MAHAR akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, negeri dan antarabangsa demi memastikan bantuan disampaikan secara telus, cekap dan penuh integriti.


"Tabung Kasih Johor–Palestin masih dibuka untuk sumbangan orang ramai demi meneruskan misi kemanusiaan ini," demikian kata Jismi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page