MAHAR laksana korban di 7 negara, agihan kepada pelarian, miskin tegar
- Suara Keadilan
- 10 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) akan melaksanakan Program Ibadah Korban 1446H/2025M di tujuh buah negara yang terjejas akibat konflik dan kemiskinan dengan seramai 16,000 penerima bakal mendapat manfaat.
Selain Malaysia, ibadah tersebut akan dilakukan di Somalia, Kenya, Bangladesh, Thailand, Filipina dan Mesir sekali gus menjadi yang terbesar pernah diadakan oleh pertubuhan misi kemanusiaan itu.
Presidennya Jismi Johari (gambar) berkata, program tersebut merupakan inisiatif tahunan MAHAR dalam usaha menyantuni masyarakat rentan yang berdepan pelbagai cabaran seperti kekurangan zat makanan dan krisis kemanusiaan.
"Ia memberi tumpuan khusus kepada golongan paling memerlukan di kawasan terjejas akibat bencana, peperangan dan kemiskinan tegar.
"Agihan daging korban disasarkan kepada golongan miskin dan terpinggir terutamanya di Kenya dan Somalia, di mana penduduk hanya berpeluang menikmati daging setahun sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibadah korban mula dilakukan pada Hari Raya Aidiladha yang disambut esok di Malaysia hingga 13 Zulhijjah.
Jismi memaklumkan agihan daging korban di Malaysia dilaksanakan melibatkan keluarga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, komuniti setempat melalui Pusat Khidmat ADUN Semerah, Johor serta pelarian Palestin dan Syria yang menetap di negara ini.
"Di Filipina, agihan difokuskan kepada golongan mualaf, khususnya komuniti Islam yang baru memeluk agama dan hidup dalam serba kekurangan," katanya.
Tambah beliau sebanyak dua ekor lembu disediakan untuk ibadah korban di Mesir bagi diagihkan kepada rakyat Palestin yang berlindung di negara yang berjiran dengan wilayah Gaza itu.
"Sebahagian daripada daging korban ini turut diproses dan dibungkus dalam bentuk pek makanan untuk dihantar ke dalam wilayah Gaza, sebagai kesinambungan komitmen MAHAR dalam menyantuni mangsa konflik berpanjangan," ujarnya.
Dalam pada itu, MAHAR turut melaksanakan korban khas atas nama dan bagi pihak ahli, petugas, sukarelawan serta rakan media yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi dalam menyokong misi-misi kemanusiaan MAHAR selama ini.
"Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka yang konsisten bersama kami — dari medan bencana hinggalah ke ruang sidang media dan perbincangan dasar, MAHAR melaksanakan korban khas sebagai simbol kasih dan pengiktirafan terhadap sumbangan mereka," ujarnya.
Jelas Jismi semua proses penyembelihan dan agihan korban dijalankan mengikut hukum syarak, mematuhi piawaian kesihatan, dan diselia secara telus oleh rakan pelaksana bertauliah di negara-negara berkenaan.
"MAHAR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, rakan pelaksana dan para penyokong yang telah bersama-sama menjayakan program ini.
"Orang ramai juga diseru agar dapat turut serta dalam memperluas semangat ibadah korban sebagai platform solidariti kemanusiaan sejagat," katanya.