MAHA Trade Days 2026 buka peluang pasaran pertanian ke peringkat antarabangsa
- Suara Keadilan

- 50 minutes ago
- 2 min read

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2026) melangkah setapak lagi apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini melancarkan MAHA Trade Days 2026 di MAEPS, sebuah platform penting untuk memperluas pasaran, menarik pelaburan dan membuka lebih banyak peluang kepada petani, nelayan, penternak serta usahawan agromakanan negara.
Menurut Mohamad, melalui MAHA Go-Global komuniti pertanian boleh secara lebih mudah memasarkan produk mereka ke pasaran global
"Kita mahu produk agromakanan Malaysia bukan sahaja kukuh di pasaran tempatan, tetapi mampu menembusi pasaran baharu dan bersaing di peringkat antarabangsa," Mohamad dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, pelbagai platform disediakan menerusi MAHA Trade Days 2026 termasuk Business Matching dan Hosted Buyer Programme yang menghimpunkan pembeli antarabangsa serta domestik untuk bertemu secara langsung dengan usahawan tempatan.

Katanya, 14 MoU yang dimeterai sepanjang pameran MAHA melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan, ternakan, nanas, baja, teknologi dan input pertanian.
"Alhamdulillah, pada hari pertama sahaja sebanyak 14 Memorandum Persefahaman bernilai RM1.49 bilion telah dipertukarkan melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan, ternakan, nanas, baja, teknologi dan input pertanian
"Ini merupakan permulaan yang baik ke arah sasaran keseluruhan RM8 bilion bagi MAHA 2026.
"Namun yang lebih penting, setiap kerjasama ini mesti diterjemahkan kepada pasaran baharu, pelaburan, pemindahan teknologi dan peluang ekonomi yang memberi manfaat sebenar kepada pemain industri serta pengeluar tempatan," katanya.
Mohamad turut mengajak para usahawan memanfaatkan sepenuhnya MAHA Trade Days 2026 dengan membina jaringan, bertemu pembeli, mencari rakan strategik dan meneroka peluang baharu.
"Daripada kekuatan tempatan, kita bawa agromakanan Malaysia ke pentas dunia.
"MAHA Go-Global, Perjalanan Anda Bermula Di Sini!" katanya.
Pameran MAHA berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS Serdang, Selangor.




Comments