top of page

Mafia korporat: Mengapa Rafizi membisu waktu jadi menteri? - AMK

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
53 minutes ago
1 min read

Bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dipersoalkan sama ada beliau mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan kegiatan mafia korporat sewaktu menjawat jawatan Menteri Ekonomi.


Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Dzul Hilmi Zainol (gambar) berkata, sekiranya Rafizi mengetahui perkara itu ketika berada dalam kerajaan, timbul persoalan mengapa isu berkenaan tidak dibangkitkan secara terbuka ketika itu.


"Ketika itu, beliau bukan orang luar dan merupakan sebahagian daripada kerajaan yang mempunyai akses untuk membawa perkara berkenaan kepada perhatian pihak berkuasa.


"Jadi, persoalan yang perlu dijawab ialah bila beliau mula mengetahui perkara ini, apakah tindakan yang telah diambil dan adakah beliau pernah membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Jemaah Menteri atau agensi penguatkuasaan," katanya dipetik laporan media.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa membidas Rafizi berhubung isu jenayah korporat dengan mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dibangkitkan ketika beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan.


Anwar dilaporkan berkata, tindakan membetulkan sebarang salah laku perlu dilakukan ketika seseorang masih mempunyai kuasa, bukannya hanya bersuara selepas tidak lagi memegang jawatan.


Dzul Hilmi sementara itu mengingatkan Rafizi supaya berhenti membina naratif politik dalam isu tersebut, sebaliknya jika benar-benar mahu mempertahankan integriti dan melawan salah laku korporat, beliau perlu tampil mendedahkan fakta sebenar.


"Saya fikir penjelasan yang paling penting sekarang ialah apa yang beliau tahu ketika menjadi menteri dan apa yang telah beliau lakukan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page