MADANI prihatin: Hasil kaji selidik perniagaan Pasar Jalan Othman PJ diumumkan
- Suara Keadilan

- Apr 26
- 2 min read

Kerajaan Madani sentiasa prihatin dengan nasib peniaga kecil di pasar basah yang sering kurang diambil berat.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung baru baru ini telah menjalankan kaji selidik berhubung kekurangan pelanggan di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya (PJ).
Menurut Chean Chung kaji selidik pada awal April lalu, dengan seramai 70 responden mengambil sampel pendapat daripada pelanggan setia, mereka yang pernah berkunjung, serta peniaga berumur antara 25 hingga 80 tahun telah menunjukkan trend yang kurang memberansangkan bagi pasar itu.
"Tujuan utama kaji selidik ini untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang punca-punca kemerosotan pasar, dan menjadi rujukan kepada perancangan masa depan kawasan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Antara dapatan kajian itu kata beliau ialah 47.2% pelanggan menyatakan faktor kebersihan dan suasana pasar yang panas dan tidak selesa sebagai sebab utama mereka kurang berkunjung; 41.5% menyebut masalah kekurangan tempat letak kereta sebagai penghalang; 20.8% mengadu kurangnya pilihan barangan, seperti sayur dan ayam dan 13.2% pula berpendapat sikap sesetengah peniaga menjadi faktor mereka tidak lagi mahu datang.
Bagaimanapun, kata Chean Chung, dari sudut pandang peniaga pula dapatan agak berbeza.
"64.7% peniaga menyatakan mereka menghadapi kesukaran untuk mengupah pekerja, kerana larangan MBPJ terhadap pengambilan pekerja asing. Kekurangan tenaga kerja ini telah menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa menutup gerai.
"Hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa wujud jurang pandangan antara pelanggan dan peniaga. Satu perkara penting yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat," ujarnya.
Berikutan itu, kata Pengarah Komunikasi Nasional KEADILAN itu, laporan kaji selidik berkenaan telah pun dikemukakan kepada wakil peniaga dan pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 25 April yang lalu.
"Dalam masa terdekat, saya juga akan mengumpulkan pandangan daripada para peniaga dan membentangkannya kepada Datuk Bandar agar sebarang cadangan masa depan dapat dibuat secara telus dan adil.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi pandangan dalam kajian ini, serta warga Petaling Jaya yang terus menyokong pasar tempatan. Kita akan teruskan sesi libat urus dan cari jalan terbaik bersama-sama," katanya lagi.









Comments