top of page

Madani dan Rahmatan lil Alamin, landasan keamanan, keadilan sejagat

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 30
  • 2 min read
Dialog bersama ulama menjadi rutin PM Anwar dalam memperkasa pentadbiran Madani di negara ini
Dialog bersama ulama menjadi rutin PM Anwar dalam memperkasa pentadbiran Madani di negara ini

Oleh: Hasbul Ahmad


Konsep Madani dan Rahmatan lil Alamin yang ditegaskan oleh Perdana Menteri dalam Persidangan Antarabangsa Kedua Pemimpin Agama 2025 baru baru ini merupakan landasan penting untuk mengelakkan pertembungan agama, memupuk keamanan sejagat serta menjunjung nilai keadilan, kemanusiaan dan maruah insan.


Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Datuk Mustaffa Kamil Ayub (gambar) berkata, pemahaman ini menekankan bahawa agama diturunkan bukan untuk menimbulkan konflik, sebaliknya membawa perdamaian, hak, dan kebebasan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa atau agama.


Katanya, pertembungan yang berlaku dalam masyarakat Islam masa kini lebih banyak berpunca daripada tafsiran politik berbanding perbezaan asas agama dengan sikap tudah-menuduh, memperbesar-besarkan perbezaan, serta mempolitikkan perbezaan hanya merugikan umat dan membuka ruang fitnah.

Datuk Mustaffa Kamil Ayub
Datuk Mustaffa Kamil Ayub

"Yang lebih utama adalah membina adab dalam berbeza pandangan. Ilmu tanpa adab hanya akan membawa mudarat kepada masyarakat. Rasulullah menekankan bahawa pembetulan akidah perlu seiring dengan meluruskan akhlak," kata Mustaffa kepada Suara Keadilan.


Beliau mengulas pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pemimpin agama dari seluruh dunia supaya tampil lebih berani mempertahankan keadilan, keamanan dan kemanusiaan di tengah kemerosotan nilai moral serta hipokrasi politik global.


Perkara itu dinyatakan Anwar pada Persidangan Antarabangsa Kedua Pemimpin Agama 2025 di Subang Jaya, Selangor yang turut menghimpunkan tokoh pelbagai agama dari seluruh dunia termasuk Setiausaha Agung Rabitah al-‘Alam al-Islami Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa, Pengerusi Universiti Antarabangsa Al-Mustafa, Iran Ayatollah Alireza Arafi, Dr David Bahn, Swami Paramatmaanda serta wakil Al-Azhar, Dr Nazir Mohammed Ayyad.


Dalam pada itu Mustafa merujuk kepada peradaban dan sifat inklusif agama Islam apabila umat Islam Palestin pada awal abad ke-20 pernah menerima masyarakat Yahudi yang diusir dari Eropah untuk tinggal bersama secara aman.


"Begitu juga Salahuddin Al-Ayubi yang selepas membebaskan Jerusalem, memanggil semula Yahudi yang pernah dihalau agar hidup bersama dalam keadaan damai.


"Malah, Sahifah Madinah yang dirangka Rasulullah SAW pada abad ke-7 turut menjamin perpaduan antara Muslim, Yahudi, dan Nasrani di Madinah," katanya lagi.


Tambah beliau, pendekatan ekstrem dan keterlaluan dalam beragama atau berpolitik perlu ditolak kerana hanya akan mencetuskan kekacauan, sebaliknya, prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan wajar dikembangkan sehingga menjadi arus perdana.


"Dengan itu, fahaman melampau akan semakin terpinggir dan dianggap asing dalam masyarakat.


"Dalam konteks politik pula, suhu yang terlalu panas berterusan perlu diturunkan. Politik seharusnya berfungsi sewaktu pilihan raya, bukan menjadi kempen tanpa henti sehingga menjejaskan usaha membina masyarakat dan negara.


"Justeru, penyebaran konsep sederhana dan inklusif ini perlu diperluaskan hingga ke akar umbi di surau, masjid, kampung, pedesaan serta institusi pendidikan agar menjadi asas kukuh untuk melahirkan masyarakat yang lebih bersatu, adil dan damai," kata Mustafa lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page