
Madani sebagai konsep berkehidupan mungkin telah banyak diungkapkan sebagai tajuk atau isi penting karya pemikir agung tamadun Islam sejak ribuan tahun lalu.
Bagaimanapun, Madani sebagai karya terbaharu Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diluncurkan hari ini mengungkap permasalahan kontemporari masyarakat majmuk Malaysia dan mencari solusi mengatasinya.
Hal itu dinyatakan oleh Anwar dalam dialog sempena peluncuran karyanya di Institut Darul Ehsan (IDE), siang tadi.
"Muhamad Abduh pernah guna madani, kemudian Naquib al Attas pernah bicara soal din, madinah, tamadun. Guna (madani) dari segi konsep berbeza.
"Kita masyarakat era 1990an lalu cakap pasal civil society. Tetapi tidak cukup dengan civil society sebab tidak meluas. Kita dalam masyarakat sivil itu ada adab, akhlak, tamadun dan ilmu.
"Bila saya nak popularkan madani saya semak kepada Shekih Taha Jabir, dia beri penjelasan dari segi sejarah dan sebagainya.
"Maksudnya (Madani) satu usaha ke arah membentuk masyarakat berasaskan nilai dan akhlak walaupun asasnya masih ekonomi, sosial dan teknologi.
"Sebagai seorang muslim saya rasa perlunya diberi penekanan dalam wawasan kita ini tentang pembangunan seutuhnya yang mencakup beberapa bidang ilmu baru termasuk digitalisasi, kecerdasan buatan tetapi mendasarinya adalah asas nilai dan akhlak," katanya.
Sebelum ini, menurut pengerusi Pakatan Harapan itu banyak karya telah membicarakan isu masyarakat Malaysia dan kerumitan serta kelemahannya, namun hal itu tersangkut sebagai bahan ilmiah semata mata kerana tidak diterapkan sebagai dasar awam.

"Mengapa dicatat dalam buku kecil begini, kerana kita nak elak ia jadi slogan kosong. Umpama dulu disebut Melayu baharu tetapi korupsi sama juga. Dulu disebut tentang pasca normal tetapi yang kita lakukan normal (yang lama). Kita perkenal dasar dasar yang sama tetapi dianggap baru kerana tarikhnya baru.
"Bila ada kecamuk (seperti ketika ini), krisis politik, ekonomi dan nilai, maka kita bina yang baru (Madani) dari runtuhan yang lama," ujarnya.
Oleh kerana negara akan masuk Pilihan Raya Umum dan mungkin mempunyai peluang untuk mengubah tadbir urus negara selepas ini berlandaskan Madani maka karya tersebut mempunyai ruang untuk diterapkan.
Bagi Anwar, kemerosotan Malaysia dan kualiti kehidupan rakyatnya ketika ini tidak lain daripada pimpinan yang bertoleransi dengan rasuah dan penyelewengan sejak berdekad dekad lamanya.
"Kita deal dengan kumpulan yang toleransi dengan korupsi. Sama ada parti Melayu, parti Islam. Saya tak dengar hujah parti Islam selain isu 355 (hudud). Sebab itu saya menulis Madani dengan maksud memberi pencerahan dan perbahasan.
"Saya tidak fikir saya mempunyai kehebatan menjawab semua masalah. Tetapi saya minta perbahasan, teguran, kritikan. Di mana yang kuat, lemah, kurang berasas yang diungkap dalam Madani," katanya.
Dalam sesi tanya jawab daripada hadirin, Anwar tidak menyembunyikan kekagumannya terhadap khalifah Bani Umayyah, Umar Abdul Aziz yang dalam tempoh pemerintahan yang singkat sebelum kematiannya mampu merobah empayar Islam itu menjadi negara yang amat adil dan makmur
Beliau berharap dapat membawa konsep pemerintahan cerminan Khalifah Umar sekiranya berkesempatan untuk mentadbir negara.
"Kita lihat khalifah Islam Umar Abdul Aziz. Dalam tempoh 2 tahun dia mampu buat yang begitu banyak. Soal solat, puasa, tahajud itu soal peribadi. Tetapi hebat Umar ini bukan kerana zuhudnya. Dia hebat kerana menyelenggarakan pentadbiran yang baik.
"Ini kegagalan sesetengah ahli politik Islam kerana tadbir urus diketepikan. Jadi apa kejanggalan tentang politik Islam, mengapa kita agungkan Umar? Sebab dia laksanakan (agihan) zakat luar biasa (sehingga tiada orang susah).
"(Di zaman ini) orang tidak marah jika tidak sampai ke tahap mempertahankan prinsip seperti Umar. Kita di bawah (daripada Umar) tetapi janganlah sampai ke tahap curi berbilion ringgit dan dimaafkan.
"Politik Islam pula tidak harus seputar hudud dan sebagainya, tetapi hal ini (korupsi) didiamkan. Ini menjadikan orang tidak yakin," katanya lagi.